Skip to main content

Bersolat di Mesir

Mungkin agak pelik tajuk ini. Namun setelah aku terangkan nanti mungkin baru dapat difahami maksudnya. Bersolat di Mesir sebenarnya tiada apa-apa perbezaannya dengan solat di mana-mana. Orang Islam Mesir bukanlah bermazhab Maliki yang mempunyai banyak perbezaan solatnya dengan solat mazhab-mazhab lain. Contoh solat mazhab Maliki; tangan dilepaskan, jari digerakkan dalam tasyahhud dan sebagainya. Orang Mesir kebanyakkannya bermazhab…Syafie. Jadi cara mereka solat adalah sama dengan kita. Aku teragak-agak untuk mengatakan bahawa mereka bermazhab Syafie adalah kerana sepanjang aku solat subuh di masjid di Mesir hanya sekali sahaja imamnya membaca Qunut subuh .

Namun sebenarnya bukanlah perkara ini yang ingin aku tonjolkan di sini. Apa yang aku ingin kongsikan adalah praktik mereka bersolat.

Kelainan orang Mesir bersolat adalah antaranya; bagi pekerja atau peniaga yang tidak pergi solat berjemaah, mereka biasanya akan bersolat di kali lima kedai atau restoran mereka atau di mana-mana ruang kedai mereka. Asal saja tempat itu muat untuk bersolat (bukan di depan tandas atau dalam tandas). Tidak kisahlah sama ada ketika itu ada pelanggan atau tidak. Ini kerana kebanyakan kedai di mesir biasanya tidak mempunyai bilik khas solat. Di bangunan pejabat pun, mereka biasanya solat secara berjemaah beramai-ramai di mana-mana kaki lima bangunan. Mereka tidak mempunyai surau. Mereka hanya memerlukan tikar sembahyang. Tidak kisahlah cantik atau tidak. Asal tidak bernajis. Maka mereka bersolat di tepi tempat orang lalu lalang. Sungguh mudah cara hidup mereka. Aku segan nak ambil gambar saat-saat itu. Jadi tak ada gambar untuk itu.

Di sesetengah tempat pula, kita boleh melihat orang bersolat di atas rumput. Biasanya ini tidak memerlukan kepada apa-apa tikar. Betul-betul di atas rumput. Temanku pernah berkata kepadaku, “Inilah kelebihan Mesir yang sukar ditemui di Malaysia”.

Mungkin ada hikmahnya cara hidup mereka begini. Mungkin kerana tubuh badan mereka besar-besar, mungkin kalau nak buat surau, berapa besar pun tak cukup.

Di Mesir jarang terdapat surau. Kesemuanya masjid. Saiz masjid-masjid di Mesir tidaklah besar. Jarang yang besar. Tapi banyak. Terutamannya di Kaherah. Sebab itulah ia pernah diberi jolokan ‘The City of thousand Mosques’.

Di dalam masjid, biasanya ada sederet kerusi di saf belakang. Itu adalah untuk orang-orang tua yang telah uzur. Mereka solat secara duduk di kerusi di saf belakang walaupun dipisahkan dengan banyak saf-saf yang masih kosong.

Di antara kelainan bersolat di Mesir adalah jika ada saf di antara dua tiang mereka akan tinggalkan. Mereka biasanya tidak akan membuat saf di antara dua tiang (kecuali dalam solat jumaat dan terawih).

Dan satu lagi mereka biasanya membetulkan saf dengan hujung jari kaki. Bukannya dengan tumit sepertimana di tempat kita. Dan mereka tidak semestinya membuat saf di dalam kotak saf. Ikut suka mereka. Asal saja ada bentuk agak-agak garisan di lakaran sejadah masjid yang membolehkan mereka meluruskan saf, maka itu jadi panduan untuk meluruskan saf. Perkara ini sebenarnya bukanlah disenangi oleh orang pihak masjid sendiri. Aku pernah melihat ada pihak masjid yang cuba mendidik ahli jemaahnya agar buat saf dalam kotak saf. Tapi itu semua sia-sia belaka.

Jangan terkejut jika ketika anda sedang bersembahyang ada orang menegur anda, menuntun anda ke depan atau kebelakang atau sebagainya. Macam-macam boleh berlaku. Antara sebab anda kena tegur adalah kemungkinan ketika itu ada dua jemaah dalam satu masa. Maka jemaah kedua kena dibatalkan. Antaranya…aku pernah bersolat sunat di tempat lelaki di ruang belakang di salah sebuah masjid. Tiba-tiba ada seorang wanita datang bersolat di situ. Kemudian aku terdengar suara orang tua sedang bercakap. Selesai solat, rupanya orang tua itu menegurku supaya aku memberhentikan solatku kerana wanita itu sedang bersolat di situ.

Sesuatu yang aneh lagi adalah, jika ada seseorang baru takbir untuk solat sunat, tiba-tiba bilal iqamat. Dia akan terus memberhentikan solat sunatnya dengan memberi salam ketika itu juga dengan cara berdiri. Aku tak pasti sama ada perkara ini dibolehkan atau tidak kerana inilah kali pertama aku menyaksikannya.

Banyak lagi keanehan praktik solat di Mesir. Banyak kes-kes kecil yang aku tak ingat atau aku malas ceritakan kerana nak ringkaskan cerita. Semoga bingkisan ini dapat membuka satu lagi dimensi baru kepada kita terhadap keagungan kebijaksanaan Allah s.w.t. dalam mencipta bangsa-bangsa yang mempunyai cara tersendiri yang pelbagai-bagai. Waallahu’alam.

Comments

  1. salam. mengenai mereka tidak mbuat saf di antara tiang. adakah tdapat dalilnya? ana btanya sbb di tmpt ana, seorg arab dr yaman ni die ckp rasulullah prnh sebut ttg ni...

    ReplyDelete
  2. irwannadwi

    Ada dalilnya. iaitu riwayat Tirmizi dan Nasaii:
    عن عبد الحميد بن محمود قال: صلينا خلف أمير من الأمراء فاضطرنا الناس فصلينا بين الساريتين، فلما صلينا قال أنس _رضي الله_ عنه كنا نتقي هذا على عهد رسول الله _صلى الله عليه وسلم

    Ertinya: Kami telah menunaikan solat berimamkan salah seorang imam. Kami terpaksa bersolat diantara dua tiang. Selesai solat Anans r.a. berkata: Kami mengelakkan daripada perbuatan ini pada zaman Nabi s.a.w.

    ReplyDelete
  3. salam
    terharu bace..
    solat itu tiang agama..
    tiada alasan utk tinggalkannya,kcuali
    yg benar2 munasabah..
    peace in ISLAM =)

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kesan Membaca Novel

Ini adalah suatu topik yang telah lama aku pendamkan untuk menulisnya. Aku sering menangguhkan hasratku untuk menulisnya kerana sebelum ini aku tiada sokongan pendapat daripada orang lain. Namun baru-baru ini ketika aku sedang menyelak sebuah buku aku terjumpa suatu pendapat yang hampir serupa dengan pendapatku. Iaitu tentang kesan negatif membaca novel. Buku yang aku maksudkan adalah buku tulisan Dr. ‘Aidh Al-Qarni yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu dengan judul “Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia”, (ianya kepunyaan seorang perempuan). Aku terpandang sedikit kata-katanya mengenai keburukan sesetengah novel. Iaitu baginya sesetengah novel boleh membuatkan manusia khayal, tidak berpijak di dunia yang nyata malah membahayakan diri mereka sendiri. Beliau berkatanya: “ Sesungguhnya kebahagiaan anda terletak pada ilmu pengetahuan dan pandangan hidup yang lurus, sedangkan hal seperti itu tidak diperolehi dari kisah-kisah romantic atau murahan yang membuat pembacanya mengkhayal dan melay...

Nasyid B. Inggeris Maher Zain (Mumtaz)

Assalaimu'alaikum. Aku tak pasti adakah dia sudah dikenali di Malaysia atau belum. Dan adakah lagu-lagunya telah dimainkan di ikim.fm. Kalau belum, anda boleh mendengarnya melalui pautan di bawah nanti. Bagiku lagu-lagunya best-best belaka dan berstandard barat betul. Jarang kita jumpa orang arab dapat menyanyikan lagu barat berstandard barat betul. Aku juga tak pasti tentang dirinya dan bila albumnya mula muncul. Aku mendapat maklumat tentangnya di blog teman aku. Nanti sesiapa yang ingin mendengar lagu-lagunya dalam MP3 boleh cek di blog teman aku itu. Menurut satu laman web dia orang Lubnan dan dia pernah menyanyi di USA. Albumnya mula muncul sejak Ogos 2009. Rupanya klip-klip lagunya pun sudah banyak di youtube. Bagi mereka yang memegang fatwa boleh muzik boleh layan lagu-lagunya. Tetapi bagi mereka yang memegang fatwa haram muzik sila abaikan sahaja posting ini. Senarai lagu-lagunya. 01. Always Be There.mp3 669.0KB 02. Ya Nabi Salam Alayka.mp3 749.9KB 03. Inshallah.mp3 670.7K...

Makkah dikejutkan dengan hujan lebat 2 jam

Kekerapan hujan dan banjir di Malaysia menjadi perkara biasa tetapi di Makkah hujan merupakan perkara luar biasa dan dianggap rahmat Allah kerana bumi ambia ini jarng sekali menerima hujan. Cuaca panas di tanah suci Makkah yang mencecah melebihi 41 darjah Celsius sejak dua minggu lalu dikejutkan dengan hujan lebat hampir dua jam petang semalam. Hujan bermula kira-kira 5.30 petang waktu tempatan (10.30 malam waktu Malaysia) menyebabkan air melimpahi jalan-jalan di sekitar ibu kota Makkah, Aziziah, Syisya dan beberapa kawasan persekitarannya. Pasukan media Lembaga Tabung Haji (TH) yang dalam perjalanan ke Syisya kira-kira empat kilometer dari pusat bandar Makkah menempoh perjalanan dalam hujan lebat disertai petir petang semalam. Aliran trafik Kota Makkah yang sentiasa sibuk dengan kehadiran jutaan jemaah haji dari seluruh dunia bagaimanapun tidak terjejas kecuali jemaah-jemaah yang hendak menunaikan solat di Masjidil Haram kelihatan terkandas. Kota Makkah berdebu berikutan pe...