Sunday, August 31, 2008

Tiba di Mesir


Di airport KLIA

Alhamdulillah syukur kepada Allah s.w.t. kerana aku telah selamat sampai ke bumi Mesir pada waktu zohor waktu Mesir kelmarin. Ini adalah kali pertama aku menjejakkan kaki di bumi Mesir yang amat masyhur dengan pelbagai sejarahnya ini. Tak sabar rasanya nak menerokai khazanah sejarahnya dan ilmunya.

Aku telah dijemput oleh dua orang penuntut Malaysia di Al-Azhar yang telah bersabar menantiku selama 2 jam di airport kerana penerbanganku yang telah lewat 1 jam.

Buat masa ini, tidak banyak cerita yang aku dapat kongsikan bersama tentang bumi Firaun ini. Kerana aku baru sampai di sini. Tiada apa yang boleh aku analisa. Buat masa ini, apa yang aku boleh beritahu ialah suhu di Kaherah adalah 37C. Jadi lebih kurang suhu Malaysialah. Walaupun agak panas. Tapi masih boleh ditanggung kerana di Kuala Lumpur pun suhunya lebih kurang je, malah terkadang boleh mencecah sampai 40C. Suhu malam di sini pula agak nyaman. Tiada hujan. Matawang di sini pula agak rendah. Dikatakan RM 1 = EGP 1.60. Ertinya Ringgit Malaysia lebih mahal 0.60 daripada EGP. Tapi dari segi nilai harga barang, tidak banyak perbezaan. Contohnya harga air mineral di kedai runcit biasa di sini bagi 600ml adalah EGP1.50. Di Malaysia pula RM1. Jadi lebih kurang sahaja. Perkara awal yang aku perhatikan ialah perbandaran di sini lemah. Tak bersih seperti Malaysia.

Aku buat masa ini tinggal di Malaysian Hall. Besar juga bangunannya. Makanan-makanan masakan Malaysia ada di situ. Masak kicap, masak lemak, masak sambal. Semuanya ada. Jadi dari sudut makanan aku tidak banyak menghadapi masalahlah. Tapi aku belum sempat menjamah makanan Mesir yang asli. Malah aku belum sempat berjalan-jalan di Bandar Kaherah kerana penuntut-penuntut Malaysia yang berada di Malaysia Hall yang boleh membawa aku bersiar-siar sedang mengikuti suatu kursus. Baiklah setakat ini buat hari ini tentang perjalananku di Mesir. Kalau ada cerita baru nanti aku akan tulis.

Transit di Bahrain



Bangunan baru di Bahrain

Bersama jemaah umrah Malaysia di Bahrain

Kelmarin aku transit di Bahrain. Negara arab yang terdiri dari dua buah pulau kecil yang terletak di tepi Teluk Arab. Negara arab ini agak dikenali walaupun saiznya yang kecil. Ianya bukan hanya kerana airportnya yang maju. Malah kerana kekayaan petrolnya. Walaupun negara ini kecil, keluasannya hanyalah 30 batu panjang dan 20 batu lebar, terdapat banyak bangunan mencakar langit yang moden sedang dibina di sana. Lautnya pun kelihatan seperti sedang ditambak. Nak buat macam Dubai kut gamaknya. Rakyatnya tak ramai. Perkara yang mengejutkan ialah jumlah rakyatnya hanya 800.000. dan rakyat asalnya hanya 300.000 sahaja!! Kedai-kedai kebanyakan diuruskan (mungkin dimiliki) oleh orang India.

Malam di Bahrain agak hidup. Ramai pekerja-pekerja asing, terutama dari India keluar membeli belah di pasar-pasarnya yang kebanyakan peniaganya pun dari India. Terasa seperti berada di India bila berada di pasar itu. (Aku memang pernah ke India. Bukan hanya jalan masjid India. Nantilah bila ada masa aku cerita tentang India pula) Suhu di Bahrain agak panas. 42C. Tengah malam terasa bahang. Apatah lagi siang hari. Sekian pula coretan untuk di Bahrain.

Tuesday, August 19, 2008

Akibat Marah, kisah teladan

Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja.

Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku. "Untuk apakah paku-paku ini ayah?" tanya pemuda tersebut. "Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu" jawab ayahnya. Pada hari yang Pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut.
Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun. Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu,pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan.

Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya. Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata "Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tetapi ingatlah, tak kesah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatam mu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal.

New Makkah insya Allah

Sunday, August 10, 2008

7 alasan mengapa saintis percaya wujudnya tuhan

Artikel dari Mr. Cressy Morisson, bekas Presiden 'New York Academy Of Sciences' yang pertama kali terbit di dalam Reader's Digest Januari, 1948 ;kemudian dengan sokongan Professor C. A. Couldson, F. R.S. Profesor Matematik di Universiti Oxford ianya telah diterbit semula di dalam Reader's Digest November 1960. Rencana ini membuktikan para saintis mengakui betapa perlunya kehadiran tuhan yang maha Pencipta.

Kita masih lagi berada dalam keheningan subuh zaman saintifik dan setiap peningkatan sinar mentari membawa petunjuk akan keagungan maha pencipta.Setelah 90 tahun sejak Darwin membuat penemuan dengan semangat sains kemanusian dan dengan kepercayaan kepada pengetahuan yang semakin hampir kita dekati menyebabkan kita semakin bertambah yakin dengan adanya Tuhan.

Untuk diri saya, saya telah menghitung 7 alasan untuk menyimpulkan kepercayaan saya ini.

Pertama, dengan menggunakan hukum matematik kebarangkalian, kita boleh membuktikan bahawa alam ini telah direkabentuk dan dicipta dengan kejuruteraan yang maha bijaksana. Jika anda ambil 10 keping wang syiling dan tandakan dari 1 hingga 10, kemudian masukkan ke dalam poket anda dan gaulkan syiling2 tersebut. Sekarang anda cuba anda mengambilnya secara teratur dari no. 1 hingga 10 dan masukkan kembali syiling2 tersebut dan gaulkan mereka kembali, Secara matematik, kita tahu bahawa kebarangkalian anda untuk mendapatkan syiling bernombor 1 adalah 1 dalam 10, peluang untuk mendapatkan no. 1 dan no. 2 secara berturutan adalah 1 dalam 100 dan peluang untuk mendapatkan 1, 2 dan 3 secara berturutan secara berterusan adalah 1 dalam 1000 dan begitulah seterusnya. Peluang anda untuk mendapatkan no. 1,2,3,4,5,6,7,8,9 dan 10 secara berterusan adalah 1dalam 10 juta kali.

Mengikut kaedah yang sama, terlalu banyak keadaan yang ideal dan optima yang diperlukan di dalam kehidupan di atas bumi ini dan ianya pasti tidak akan wujud jika ianya terjadi dengan sendirinya, Bumi berpusing pada paksinya pada kelajuan 1,000 batu sejam. Jika ianya berpusing pada kelajuan 100 batu sejam, hari2 dan malam2 bumi akan menjadi 10 kali lebih lama dari sekarang,dan kepanasan matahari akan membakar seluruh tumbuhan pada waktu siang dan pada waktu malam pula, kehidupan yang ada ini akan membeku.

Matahari, sumber kehidupan ini, mempunyai suhu permukaan sebanyak 12,000 darjah Fahrenheit dan dunia ini mempunyai jarak yang optima jika dibandingkan dengan matahari supaya pancaran matahari sekadar cukup untuk memanaskan dan tidak terlalu berlebihan. Jika matahari memancar cahaya dengan kadar sebanyak 50% kurang dari yang ada sekarang, kita akan kebekuan dan jika ianya memancarkan 50% lebih pancaran, kita akan terbakar.

Kecondongan bumi sebanyak 23 darjah memberikan bumi 4 musim, jika bumi tidak condong sebanyak itu, wap dari lautan akan bergerak menuju utara dan selatan dan akan menyebabkan benua2 akan menjadi benua air batu. Jika bulan yang kita ada sekarang cuma berjarak sejauh 50,000 batu dari bumi dari jarak sebenarnya sekarang, air pasang surut dari lautan akan menjadi terlalu besar di mana dalam 2 kali sehari, seluruh benua di bumi akan ditenggelami air dan gunung ganang pun akan terhakis sama sekali. Jika lapisan teras bumi menjadi 10 kaki lebih tebal dari yang ada sekarang, ianya akan menyebabkan tiada lagi oksigen yang akan wujud di mana semua kehidupan akan mati. Jika lautan menjadi beberapa kaki lebih dalam dari yang ada sekarang, karbon dioksida dan oksigen akan terlarut semuanya di dalam lautan dan akan menyebabkan tiada tumbuhan lagi akan wujud. Atau jika atmosfera kita menjadi semakin tipis, sebahagian dari meteor akan terbakar di angkasa dan di bumi sebanyak berjuta2 kali dalam sehari dan akan mengenai bumi dan menyebabkan kebakaran di mana-mana jua. Disebabkan alasan-alasan di atas, tidak ada kemungkinan satu dalam berjuta-juta pun bahawa kehidupan di atas planet bumi ini terjadi secara kebetulan.

Klik di sini untuk membaca artikel ini sepenuhnya.

Monday, August 4, 2008

Sirih: Hantaran Pertunangan


Baru-baru ni ada seorang hamba Allah tu hendak bertunang. Masa malam sebelum hari pergi ke rumah pihak perempuan, dia dimaklumkan oleh pihak perempuan bahawa adat negeri mereka biasanya mereka akan menerima hantaran sirih daripada pihak lelaki. Jadi terkejut juga si hamba Allah tu buat seketika. Mana nak cari sirih pada waktu malam tu. Tapi nasib baiklah pihak perempuan tidak strict sangat dengan adat tu. Mereka tidak kisah. Kalau tidak jenuh dia menggagau mencari di satu daerah.

Tak sangka ada lagi adat yang tak jelas tujuannya yang masih dipakai di zaman ini. Nak kata syarat sah kawin tak juga. Nak kata ada orang yang nak makan tak juga. Nak kata bau wangi tidak juga. Dan nak kata untuk nak buat hiasan, tak kan nak suruh pihak lain siapkan? Jadi...susah. Inilah salah satu adat perkahwinan melayu yang tak dapat jelas tujuannya yang masih dikekalkan dalam masyarakat melayu. Kalau zaman dahulu takpelah perkara ini. Asal usul adat menghantar sirih pada zaman dahulu adalah disebabkan sirih adalah makanan yang ada nilai di sisi masyarakat melayu pada masa itu. Dengan menghantar sirih pihak perempuan akan merasa ceria dan gembira. Tapi sekarang zaman sudah berubah. Tiada siapa lagi yang makan sirih. Malah orang yang sibuk suruh siapkan sirih tu pun dah tak makan sirih. Pandangan masyarakat melayu tentang sirih sudah berubah.

Tak perlulah sesiapa nak berfalsafah tentang signifikan lambang sirih itu kepada orang melayu. Kalau zaman dulu ada tujuannya. Iaitu untuk dimakan. Tapi kalau zaman sekarang kalau dapat sirih entah-entah akan dibiarkan sampai layu.

Bukan tak sayangkan melayu orang melayu tak pakai adat tu. Tapi biarlah sesuatu perkara itu bila dibuat boleh menyumbang kepada bangsa melayu yang bijak. Bukan mewajibkan membuat perkara kerana ikut-ikutan tanpa mengetahui maksudnya. Tak perlu berfalsafah untuk mengekalkannya. Memang dah jelas tujuannya untuk dimakan. Kalau benar falsafah-falsafah yang sering disebut-sebut tentang keberkatan yang ada disebaliknya... boleh membuatkan itu dan ini, mana bukti statistik tentangnya?

Zaman sekarang ni kalau nak bagi hantaran, cubalah bagi buah durian D24 pulak ke. Pihak penerima pasti akan ceria dan tersenyum sampai ke telinga. Sebab orang sekarang ni dah tak ada dusun. Makanan favorite mereka masih buah durian. Jadi tentu mereka suka. Banyak falsafah perkahwinan yang boleh direka tentang buah durian untuk masyarakat melayu bagi sesiapa yang nak reka.

Baiklah musim perkahwinan pun dah dekat. Jadi kepada semua yang bakal melangsungkan perkahwinan selamat pengantin baru. Dan pilihlah antara sirih dan durian.