Wednesday, February 25, 2009

Laut tak bercampur




p/s: insyaAllah bila-bila aku komen.

Sunday, February 22, 2009

Terkini: Pengeboman di Kaherah

Semalam telah berlaku suatu pengeboman di Khan Khalili, iaitu suatu bazaar popular di Kaherah. Pengeboman itu telah mengakibatkan 4 orang terbunuh termasuk pelancong asing dan 20 orang cedera. Untuk berita lanjut sila lihat The Star.

Khan Khalil adalah satu bazaar yang sering dikunjungi pelancong-pelancong yang mahu membeli cenderamata dan buah tangan Mesir. Tempat itu dikawal oleh ramai polis sepanjang masa. Kawalannya seolah-olah kemas. Tapi tak sangka juga berlaku kes pengeboman.

Tempat berlakunya pengeboman itu adalah di deretan cafe yang biasanya tempat pelancong asing melepak. Belum pasti siapa yang melakukannya. Tetapi yang pasti dalam masa terdekat bazaar itu akan ditutup untuk siasatan.

Friday, February 20, 2009

Kembara Sinai 2009

Sudah menjadi kebiasaan pelajar-pelajar Malayisa di
Mesir pada setiap tahun pada musim sejuk akan mengadakan rombongan ke Sinai. Sinai adalah sebuah negeri yang terletak di Tenggara Mesir, bersempadan dengan Israel, Jordan dan Arab Saudi. Antara sebab mengapa Sinai dikunjungi adalah kerana di sana terdapat beberapa tempat bersejarah. Antaranya 1. laluan Nabi Musa a.s membawa kaumnya Bani Israel ketika keluar dari Mesir. 2. Gunung Tur Sina, iaitu gunung yang Nabi Musa a.s. bercakap dengan Allah s.w.t. di atasnya 3. batu yang dikatakan dipukul oleh Nabi Musa .a.s. untuk mendapakan air, 4. kesan lembu Samiri yang pernah disembah oleh Bani Israel, 5. maqam beberapa orang nabi, iaitu Nabi Saleh a.s. dan Nabi Harun a.s., 6. kubu Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan juga beberapa tempat pelancongan lain, seperti pantai Dahab, Taba dan Sharm al-Sheikh. Baru-baru ini aku sempat mengikut salah satu rombongan mereka ke negeri itu.

Sinai bukanlah sebuah negeri yang subur. Kebanyakan permukaan buminya kering. Tidak seperti Kaherah, di Sinai, tidak banyak pokok dan tidak ramai orang mendudukinya. Kalaulah bukan kerana terdapat tempat-tempat bersejarah tadi, mungkin tiada siapa yang akan datang ke sini. Namun inilah laluan yang pernah dilalui oleh Nabi Musa a.s. ketika membawa Bani Israel melarikan diri dari bumi Mesir.

Sebelum tiba di tempat-tempat di Sinai, kami duhulunya melalui terusan Suez. Iaitu sebuah terusan buatan manusia yang terbesar yang menghubungkan antara benua Asia dan benua Eropah. Kemudian kami ke kubu tinggalan Israel. Iaitu ketika mereka menawan Sinai daripada Mesir pada peperangan tahun 1967. Tidak banyak yang aku ingin coretkan tentang ini di sini.

Setelah tiba di St. Chaterine iaitu tempat yang terletaknya tempat-tempat bersejarah tentang Nabi Musa a.s. dan kaumnya, (tempat itu dinamakan St Chatrine kerana terdapat sebuah gereja Kristian tua yang berusia ratusan tahun bernama St Chatrine) kami terus pergi melawat ‘Wadi Arbaein’ yang bererti ‘Lembah 40’. Tiada maklumat yang pasti tentang lembah ini. Kerana tiada maklumat tertulis untuk kemudahan pelancong di pintu masuk kecuali sebuah batu bertulis ‘Wadi Abaein’. Inilah adalah salah satu kelemahan Mesir, mereka jarang menyediakan papan maklumat tentang sesuatu tempat pelancongan. Maka aku tidak pasti apakah yang dimaksudkan dengan ‘40’. Adakah ia bermaksud 40 hari, 40 orang, atau 40 tahun. Bagi aku, mungkin 40 tahun. Iaitu lembah yang Allah s.w.t menyesatkan Bani Israel tidak dapat keluar daripadanya selama 40 tahun. Kerana tiada maklumat lain yang disebut di dalam al-Quran kecuali itu.

Saiz lembah ini tidak panjang, agak sempit dan terletak antara dua bukit. Memang sukar bagiku untuk membayangkan jika ia adalah laluan Nabi Musa a.s. bersama kaumnya selama 40 tahun. Namun boleh jadi. Dan di situlah terdapat sebuah batu besar yang dikatakan pernah dipukul oleh Nabi Musa a.s. lalu terbit daripadanya 12 mata air untuk 12 kabilah kaumnya. Lihat gambar.

Setelah itu, kami pulang merehatkan badan di kawasan perkhemahan. Pada jam kira-kira 12 tengah malam, kami memulakan pendakian ke Gunung Tur Sina…

Mengapa mendaki jam 12 malam, tidak waktu siang? Itulah soalan yang mulanya bermain di fikiranku. Bukan kami sahaja yang mendaki pada waktu itu. Malah pelancong-pelancong dari negara lain turut mendaki pada waktu itu juga. Ada yang mengatakan sebabnya adalah kerana mahu melihat panorama matahari terbit di puncak gunung. Ada pula yang mengatakan kerana terkadang terdapat salji di puncak gunung. Kerana musim itu masih dalam musim sejuk. Namun, aku tidak pasti adakah jawapan itu benar-benar dapat diterima. Ikut sukalah apapun alasannya. Aku ikut sahaja. Mungkin juga kerana mendaki pada awal pagi ini telah menjadi suatu tradisi. Namun setelah mendaki, aku rasa alasannya adalah kerana jika mendaki pada waktu siang bimbang tak larat. Kerana cuaca agak panas. Walaupun masih dalam musim sejuk, kerana negeri Sinai adalah negeri yang kering.

Gunung Tur Sina juga dinamakan Gunung Musa, berketinggian lebih kurang 2200 meter. Iaitu lebih tinggi daripada Gunung Tahan yang berketinggian lebih kurang 2100 meter. Terdapat dua laluan untuk sampai ke puncak. Iaitu laluan landai dan laluan curam. Ketika mendaki, kami menempuhi laluan landai dan ketika turun, kami melalui laluan curam. Banyak kisah suka-duka ketika mendaki. Lebih 4 jam kami mengambil masa untuk sampai ke puncak. Cukup meletihkan. Khidmat mendaki menaiki unta ada disediakan oleh masyarakat tempatan bagi sesiapa yang mahu mendaki dengan unta. Bayarannya adalah LE80. Iaitu lebih kurang RM50.

Kami tiba di puncak gunung ketika waktu Subuh sudah masuk. Selesai bersolat, kami mula meninjau-ninjau panorama di sekitar gunung. Terdapat kira-kira 300 orang pelancong memenuhi puncak gunung ketika itu. Ketika matahari mulai terbit, ramailah yang mula memetik camera mereka untuk merakamkan saat-saat tersebut. Untuk mendapat gambaran-gambaran lain tentang pendakian gunung ini, sila lihat rakaman di youtube.. ini, ini dan ini.

Sinai, terutamanya Gunung Tur Sina bukanlah tempat sejarah yang hanya mempunyai nilai sentimental bagi umat Islam, malah bagi penganut agama lain, iaitu Yahudi (Kristain tak pasti). Bagi penganut Yahudi mungkin itulah laluan suci yang pernah dilalui oleh moyang mereka ketika mereka berhijrah dari bumi Mesir. Dan gunung itu, adalah gunung tempat nabi mereka bercakap dengan Tuhan (sama bagi umat Islam). Bagi umat Islam, kisah Gunung Tur Sina banyak disebut di dalam Al-Quran. Malah ada surah yang dinamakan sempena gunung itu. Iaitu surah Al-Tur. Terdapat surah-surah yang dimulakan dengan sumpah dengan itu. Iaitu pada surah Al-Tur itu tadi dan surah Al-Tin. Kisah-kisah tentangnya juga terdapat dalam surah-surah lain, seperti dalam surah An-Nisaa ayat: 154, surah Al-Qasas ayat 29 & 46, surah Al-Mu’minun ayat 20 dan lain-lain.

Di puncak gunung, terdapat sebuah lubang yang dikatakan Nabi Musa pernah bermunajat di situ. Wallahu’alam. Sungguh tinggi tempat Nabi Musa bermunajat. Lihat panorama puncak gunung di bawah ini.

Tentang patung lembu Samiri, sudah tentu patung lembu tersebut sudah tiada. Tetapi terdapat suatu objek di dinding sebuah batu besar di kaki gunung Tur Sina yang kelihatan seolah-olah seperti seekor anak lembu. Ada yang mengatakan objek itu terhasil kerana pancaran lembu emas Samiri. Wallahu’alam. Lihat gambar.

Gambar Lembu Samiri

(Diambil daripada web orang. Maaf, aku tak ambil gambar kerana cuaca panas)


Setelah itu kami pergi ke pantai Dahab. Iaitu salah satu tempat pelancongan terkenal di Sinai. Dahab mempunyai air laut yang jernih yang sesuai untuk aktiviti menyelam. Pantai Dahab tidak dapat disamakan suasanya di dengan pantai-pantai di tempat kita kerana tidak banyak pokok di situ.

Sebelum pulang, kami singgah di suatu tempat yang terdapat di situ sebuah kubu yang dibina oleh Sultan Salahuddin di atas sebuah pulau. Kami tidak sempat memasukinya kerana kelewatan. Banyak lagi tempat-tempat yang boleh dilawati di Sinai. Tapi cukuplah tempat-tempat itu menjadi pengubat untuk lawatan ke Sinai.



Panorama matahari terbit

Orang ramai melihat matahari terbit

Laluan turun


Kubu Sultan Salahuddin

Pantai Dahab

Wednesday, February 18, 2009

Kisah Orang Masuk Islam









Assalamu'alaikum wwrt wbt

Banyak lagi klip-klip tentang kisah orang memeluk Islam di youtube. Silalah layari. Terdapat beberapa kesimpulan yang boleh aku ambil daripada kisah-kisah orang memeluk Islam itu.
1. Hidayah hanylah daripada Allah s.w.t.
2. Masjid memainkan peranan penting.
3. Sebarkan Islam walaupun tanpa merancang.

Sunday, February 8, 2009

Pesta Buku Antarabangsa Kaherah ke-41

"Sungguh meletihkan", itulah ungkapan yang biasanya aku luahkan setiap kali hampir keluar dari pintu keluar Pesta Buku Antarabangsa Kaherah ke 41.

Baru-baru ini telah berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kaherah kali ke 41 pada 21hb Januari hingga ke 5hb Febuari 2009.


Selama 2 minggu pesta buku itu berlangsung, 8 hari aku berulang-alik mengunjunginya. Terasa amat teruja dengan pengalaman ini. Inilah kali pertama aku berpeluang mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kaherah yang dikatakan ke 2 terbesar di dunia. Memang amat besar. Lebih besar dari pesta buku di India yang dikatakan 3 hari baru dapat dihabiskan satu pusingan. Dan 10 kali ganda lebih besar daripada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Terdapat 765 penerbit daripada 27 buah negara menyertainya.Tiket masuk dikenakan kepada para pengunjung LE1. Iaitu seperti RM1 duit Malaysia.

Pesta buku ini diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa di Kaherah. Di tapak pusat pameran tersebut, terdapat 6 buah dewan besar yang berasingan (maksudku bukan dalam satu bangunan). Setiap satunya bersaiz lebih kurang dewan pameran pusat persidangan Kuala Lumpur (KLCC). Beberapa deretan kedai sementara yang sama panjangnya dengan dewan-dewan itu turut didirikan selain dewan-dewan tersebut.

Memang tak larat jika nak melawat ke seluruh kawasan pameran dalam satu hari. Aku sendiri mengambil masa 5 hari untuk menghabiskan satu pusingan mengunjungi seluruh kawasan pesta. Setiap satu hari antara 4-5 jam (sambil membelek buku). Bas mini disediakan di dalam kawasan pesta bagi para penunjung yang tak larat atau malas berjalan kaki.

Setiap peniaga diberikan kedai-kedai bersaiz sebuah kedai. Maksudku ‘bersaiz sebuah kedai’ adalah bukan bersaiz booth-booth kecil seperti yang biasa kita lihat di mana-mana pameran di Malaysia. Bayangkanlah jika terdapat 765 peniaga. Ada juga peniaga yang mengambil 2 lot kedai. Para peniaga seakan membawa hampir semua buku di kedai mereka untuk dijual di situ.

Memang rambang mata apabila melihat lautan buku yang dijual dengan harga yang murah dibandingkan di Malayisa. Buku-buku kebanyakkannya adalah buku Arab. Buku-buku yang di Malaysia biasanya berharga antara RM20-RM30, di sini hanya RM10. Buku-buku cetakan Mesir lebih murah daripada buku cetakan luar Mesir. Walaupun kualiti kertasnya agak kurang baik. Namun tidaklah teruk sangat jika dibandingkan dengan harganya. Yang lebih penting adalah isinya.

Harga buku mungkin telah agak naik sedikit jika dibandingkan dengan harganya sebelum ini. enaikan harga minyak dunia baru-baru ini turut memberi kesan kepada kenaikan harga barang di Mesir. Namum ia masih boleh dianggap murah. Ada juga buku-buku yang mahal. Terutamanya buku-buku yang kulit luaran dan kualiti kertasnya agak baik seperti buku-buku di Malaysia. Tapi bagi orang yang mementingkan isi daripada mementingkan kulit luaran, itu semua tidak penting.

Kerana terlaku banyak membeli buku, terkadang terasa seperti orang kempunan 10 tahun tak dapat shopping. Sememangnyapun, kerana sebelum ini walaupun pernah shopping, tapi tak pernah berjumpa dengan perkara yang diminati, terdapat banyak dan murah seperti di sini. Berbelanja tak ingat dunialah. Nak kata berduit sangat, tidaklah juga. Tapi kerana harga yang murah, dengan duit sedikit boleh beli banyak.

Memang agak meletihkan setiap kali hampir tiba ke pintu keluar kerana terpaksa mengendong buku yang banyak di kiri kanan tangan. Tapi itu semua menjadi ringan kerana kepuasan yang dirasa.

Bagi penuntut-penuntut Malaysia di Mesir. Mereka sudah masak dengan cara berbelanja buku dan arif dengan kedudukan setiap kedai buku pada setiap tahun. Mereka senang untuk berbelanja. Tapi bagi aku yang kali pertama menjejaki pesta buku ini, agak memakan masa juga bagiku untuk menyesuaikan diri dan pandai merancang perbelanjaanku.

Seperkara tentang kelemahan pesta buku ini adalah, tiada senarai peniaga dan kedudukan kedai disediakan untuk para pengunjung. Dan tiada lama web rasmi bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat-maklumat berkaitan pesta buku ini. Namun, walaubagaimanapun aku cukup berpuas hati dengan pengalaman ini.