Tuesday, April 28, 2009

Tip berucap di khalayak ramai


Menurut kebanyakan pendapat, penyampaian ucapan atau ceramah yang baik bergantung pada tiga perkara utama:
  • Siapakah yang menyampaikan?

  • Bagaimanakah maklumat tersebut disampaikan?

  • Apakah yang disampaikan?

Jika diteliti, faktor orang yang menyampaikan diletakkan paling atas sekali dalam senarai.

Mengapa? Lazimnya, apabila dimaklumkan bahawa akan ada satu ceramah di tempat anda, apakah perkara pertama yang akan anda tanya? Soalannya pasti "Siapa penceramahnya?" Identiti penceramah sangat penting kerana identiti merupakan daya penarik bagi penganjur untuk menarik lebih banyak penonton.

Walaupun terdapat hanya seorang penceramah yang terkenal dan penceramah lain ialah penceramah biasa yang belum dikenali, daya tarikan dan reputasi penceramah utama tadi mampu untuk menarik kehadiran penonton.

Situasi yang sama juga berlaku dalam penganjuran sesuatu konsert. Apabila tiket konsert mula dijual, penganjur akan meletakkan nama penyanyi yang paling terkenal di atas untuk menarik perhatian peminat. Penganjur juga akan membuat berbagai-bagai helah untuk memastikan penonton tidak meninggalkan konsert lebih awal dengan meletakkan penyanyi pujaan mereka di akhir konsert.

Sebagai bukti penyanyi tersebut hadir, mereka mungkin akan menampilkannya pada permulaan rancangan dengan janji bahawa beliau akan muncul semula. Dengan ini, peminatnya tidak mungkin akan berganjak.

Begitulah pentingnya daya tarikan yang ada pada seseorang penyampai yang baik. Semua ini merupakan reputasi yang dibina sejak awal pembabitan dalam bidang ini dan digilap oleh pengalaman.

Faktor kedua pula ialah cara maklumat disampaikan. Dua orang yang berlainan boleh menyampaikan ceramah dengan menggunakan teks ucapan yang sama tetapi kesannya kepada penonton sudah pasti berbeza.

Bagi topik dan ayat yang sama, sebenarnya boleh disampaikan dengan pelbagai lenggok bahasa, penekanan suara pada perkataan tertentu dan gerak-geri badan yang mengiringi penyampaian tersebut. Situasi ini banyak berlaku kepada pemandu pelancong kerana bagi setiap destinasi, mereka mempunyai skrip untuk bercerita tentang latar belakang tempat yang dilawati kepada pelancong. Bagaimanakah maklumat tersebut disampaikan? Penuh semangat, sambalewa ataupun bersahaja?

Cara penyampaian sangat penting kerana hal ini boleh menimbulkan mood yang berbeza kepada pelancong. Lawatan ke Tugu Negara misalnya boleh menjadi satu pengalaman yang biasa ataupun boleh menjadi sesuatu yang menarik dan menyentuh perasaan.

Pada satu lawatan ke Tugu Negara, terdapat dua kumpulan daripada dua agensi pelancongan yang berbeza. Bagi kumpulan pertama, pemandu pelancong tersebut memberikan penerangan kepada pelancong mengenai Tugu Negara, tahun Tugu Negara dibina, simboliknya dan sejarah yang membawa kepada pembinaannya.

Cara penyampaian adalah sangat bersahaja sehinggakan memberikan impresi bahawa Tugu Negara hanyalah salah satu daripada banyak tugu lain di Malaysia yang tidak ada keistimewaannya. Tidak ada seorang pun pelancong yang berminat untuk mengetahui perihal tugu tersebut dengan lebih lanjut lagi.

Berlainan pula dengan kumpulan yang kedua. Pemandu pelancong memulakan pengenalan kepada Tugu Negara sebagai sebuah tugu peringatan yang banyak memberi erti kepada negara. Cara penyampaian yang agak melankolik sungguh menyentuh hati dan pelancong yang datang turut menghargai pengorbanan askar-askar Melayu yang berjuang habis-habisan pada zaman sebelum kemerdekaan. Mereka turut tersentuh oleh semangat cinta akan negara yang ditunjukkan oleh askar-askar yang terkorban dalam memelihara kedaulatan negara.

Contoh di atas merupakan contoh terbaik untuk membezakan dua penyampaian yang berbeza dengan menggunakan maklumat yang sama. Setiap fakta yang diberikan oleh pemandu pelancong bagi kumpulan kedua telah disebut oleh pemandu pelancong bagi kumpulan pertama.Yang membezakan hanyalah cara penyampaian, gaya suara dan elemen emosi yang ditunjukkan.

Kebanyakan orang mungkin menyangka kandungan teks ucapan ialah faktor terpenting dalam memastikan sesuatu penyampaian berjaya. Tidak dinafikan kepentingannya tetapi seperti yang telah dijelaskan, dua individu mungkin menyampaikan teks yang sama tetapi cara penyampaian yang berbeza telah meletakkan satu ucapan itu pada tahap yang lebih baik daripada yang satu lagi.

Penyampaian yang baik akan berjaya menarik minat penonton untuk terus mendengar tanpa jemu dan hal ini membantu ke arah memastikan mesej yang ingin disampaikan sampai kepada penonton.

Namun, apakah yang dimaksudkan dengan ‘penyampaian’ atau ‘delivery’? Adakah penyampaian satu perpindahan dari satu tangan ke tangan yang lain? Apabila anda membeli sebuah kereta, penjual kereta akan datang kepada anda dan memberikan kunci kereta berserta dokumen penjualan. Anda menerima semua perkara tersebut dan proses jual beli berakhir di situ. Adakah semudah itu dengan penyampaian sesuatu maklumat?

Sarina merupakan seorang novelis yang terkenal dan pada satu majlis, Sarina telah diminta untuk menyampaikan satu ucapan pendek tentang masalah penjualan novel di negara ini. Sebagai seorang novelis yang telah banyak menghasilkan novel yang bermutu tinggi dan mendapat sambutan yang sangat baik, Sarina tidak pernah merasakan keperitan untuk memastikan semua novelnya terjual. Dia tidak pernah terfikir langsung tentang masalah tersebut yang bagi pendapatnya, langsung tidak wujud.

Oleh sebab tidak terdapat sebarang kaitan antara perkara yang disampaikan dengan elemen emosi semasa Sarina menyampaikan masalah-masalah yang mungkin wujud, Sarina gagal untuk mengaitkan dirinya dengan topik tersebut. Akibatnya, penonton tidak dapat memahami mesej yang ingin disampaikan oleh Sarina kerana dia tidak mempunyai ‘nyawa’. Ucapannya bukan hasil nukilan dari hatinya. Apa yang disampaikan hanyalah berdasarkan cerita-cerita yang didengarinya daripada media massa dan juga teman-teman seperjuangan yang tidak bernasib baik, tidak seperti dirinya.

Yang dilakukan oleh Sarina bukanlah satu penyampaian. Hal ini kerana penonton tidak merasakan sesuatu mesej telah disampaikan kepada mereka dari hati dan dari minda penceramah ke hati dan ke minda mereka.Oleh itu, penting bagi setiap penceramah untuk mengetahui cara untuk menarik perhatian penonton, tidak bercakap sambalewa dan lebih sistematik dalam penyampaian.

1. Mulakan dengan sesuatu yang menarik perhatian penontonWalaupun anda kurang bersedia dari segi penyediaan teks, anda masih boleh menyampaikan sesuatu mesej dengan baik sekiranya berpengetahuan dalam topik tersebut. Namun, pada permulaan ucapan, pengenalan yang diberikan haruslah cukup menarik untuk melakar imej yang positif terhadap diri anda.

Sebagai contoh, walaupun Sarina tidak bersedia kerana dia tidak mempunyai pengalaman seperti yang tertulis dalam topik di atas, dia masih berupaya untuk ‘bercerita’ pengalaman yang pernah dialami oleh kawan-kawannya.Sarina boleh memulakan ucapannya dengan kenyataan yang menarik perhatian, seperti, "Dua minggu lepas, saya didatangi oleh rakan baik saya, yang juga merupakan novelis. Beliau banyak menulis cerita tentang percintaan kaum remaja. Dia datang dengan muka yang muram…" atau Sarina boleh memulakan dengan satu soalan, "Berapa orang di sini yang membaca surat khabar hari ini?"…atau "Berapa ramaikah di sini yang suka membaca novel?"Walau apa-apa jua teknik yang digunakan, pastikan teknik tersebut mampu menarik perhatian penonton supaya terus mendengar.

2. Pastikan penyampaian anda penuh bertenagaSeperti yang telah disarankan sebelum ini, variasi suara amat penting. Pastikan kelajuan suara anda perlahan apabila memperkatakan sesuatu yang agak dramatik dan pastikan anda membayangkan keceriaan apabila menceritakan perkara yang menggembirakan. Jangan lupa untuk berhenti apabila perlu. Bercakap tanpa henti seperti kereta api ekspres tidak akan membantu anda menyampaikan mesej.

Jangan hanya berdiri kaku di belakang rostrum tetapi berjalan ke hadapan apabila anda ingin menarik perhatian penonton dan berikan deskripsi dengan pergerakan tangan dan mimik muka anda. Pastikan setiap pergerakan mempunyai matlamat. Jangan mundar-mandir tanpa hala tuju kerana lambat laun penonton akan bosan. Sarina mungkin telah melakukan kesilapan kerana dia tidak bergerak dan tidak mencuba untuk memenangi hati penonton. Dia tenggelam dalam masalahnya sendiri yang merupakan konflik dalaman dirinya.

Sebelum membuat ucapan, pastikan anda mendapat rehat yang secukupnya beberapa jam sebelum masa yang dijadualkan. Mental dan fizikal yang cukup rehat sangat penting untuk mengelakkan rasa gugup. Anda juga harus memberikan perhatian pada perut anda. Kebanyakan penceramah hanya mengambil makanan yang ringan sahaja sebelum berucap. Jangan sekali-kali makan berlebihan kerana apabila perut terlalu kenyang, anda pula terpaksa berdiri untuk menyampaikan ucapan, peraliran darah akan tertumpu ke bahagian perut. Akibatnya, peraliran darah ke otak akan berkurangan dan hal ini menyebabkan anda lesu dan tidak boleh berfikir dengan baik.

Oleh itu, elakkan makan dengan banyak. Selepas menyampaikan ucapan, anda boleh sambung kembali makan makanan yang dihidangkan.

3. Pastikan ucapan anda sistematikAnda tidak perlu memerah otak untuk mencari idea yang banyak untuk membuat sesuatu pembentangan. Memadai dengan dua atau tiga idea yang baik. Susun idea berikut mengikut kepentingan dan sediakan fakta sokongan seperti contoh, definasi, testimonial atau statistik.

Alat bantuan visual juga boleh disertakan sebagai daya tarikan yang sesuai. Bagi Sarina, dia hanya perlu menyampaikan tiga perkara iaitu:

1. Status penjualan novel setakat ini – penjelasannya boleh disokong dengan statistik penjualan novel yang boleh didapati daripada penerbit.

2. Masalah yang dihadapi oleh novelis – novel tidak laku disebabkan oleh faktor-faktor tidak ada kualiti, strategi pemasaran yang lemah, kurang promosi dan sebagainya. Untuk tambahan, Sarina boleh berkongsi cara penerbit buku membuat promosi dan pemasaran.

3. Cara untuk mengatasi masalah ini – salah satu cadangan yang boleh Sarina utarakan adalah denganmenyarankan agar pihak kerajaan mengawal lambakan novel yang tidak berkualiti, tingkatkan kreativiti penulis agar mampu mengeluarkan novel mengikut kehendak orang ramai, penyelidikan tentang cita rasa pembeli dan sebagainya.

Walaupun Sarina tidak pernah mengalaminya, dia sepatutnya arif tentang keadaan pasaran semasa yang agak lembap dan mengaitkan pengetahuan dan pengalamannya.

4. Sertakan perkataan yang menunjukkan turutanPerkataan-perkataan seperti "Pertama," "Kedua," atau "Akhir sekali," boleh menjadi petunjuk yang sistematik kepada penonton mengenai struktur ucapan anda. Hal ini boleh membantu mereka untuk mengikuti perjalanan ucapan anda.Perkataan-perkataan ini juga boleh membezakan pengenalan, isi dan penutup ucapan anda secara keseluruhannya. Dengan ini, ucapan anda akan lebih sistematik dan penonton dapat memahami objektif ucapan yang disampaikan dengan mudah.

5. Ceritakan pengalaman anda. Teknik ini berkesan apabila anda membuat pembentangan terutama sekali dalam bidang teknikal. Lazimnya, bidang teknikal tidak begitu mudah untuk difahami, kecuali semua hadirin yang ada merupakan orang yang bekerja atau belajar dalam bidang ini. Untuk memudahkan pemahaman, anda boleh menceritakan pengalaman anda sendiri dengan bahasa yang mudah.

Berdasarkan pengalaman yang dilalui, anda mampu mengaitkan pendengar secara emosi dengan fakta yang anda ceritakan. Hanya pengalaman peribadi dapat mencapai impak sedemikian.

Apabila anda bercerita, ikutlah kronologi kejadian dengan memasukkan maklumat seperti orang yang terlibat, perkara yang terjadi, masa, sebab dan tempat. Jika anda menggunakan panduan ini, cerita anda tidak akan kekurangan fakta yang diperlukan untuk pemahaman.

Sebagai menambah keunikan pembentangan anda, anda boleh menggunakan alat bantuan visual seperti tayangan video pendek, carta flip dan sebagainya. Sebelum itu, pastikan anda menonton dahulu visual tersebut dengan duduk di tempat penonton dan di belakang sekali. Pastikan penonton yang duduk di belakang sekali dapat melihat visual tersebut.

Buat pengenalan kepada visual berkenaan dan jelaskan sebab visual itu dipilih. Jangan biarkan visual tersebut menjadi demontrasi bisu. Anda harus memberikan petunjuk pada setiap peringkat. Jangan berhenti bercakap langsung. Anda harus memandang ke arah hadirin, bukan visual tersebut. Apabila visual tersebut sudah tidak digunakan, tutup atau sembunyikan daripada pandangan penonton kerana visual tersebut boleh mengganggu konsentrasi mereka terhadap anda.

Seandainya anda menyampaikan ucapan untuk memujuk penonton supaya membuat sesuatu, sebagai tambahan kepada pengalaman yang anda alami sendiri, masukkan juga testimonial daripada pakar yang dihormati dan dikenali oleh semua hadirin untuk membuktikan yang anda serius.Anda juga boleh memasukkan data statistik yang sahih. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin membuktikan bahawa pendengaran penting untuk meningkat kualiti servis kepada pelanggan, anda boleh membentangkan statistik yang menyatakan kecekapan pendengaran manusia hanyalah sebanyak 25% sahaja walaupun kita menghabiskan lebih dari separuh masa kita berkomunikasi dengan mendengar.

Petikan dari buku CARA MUDAH BERUCAP DI KHALAYAK dari isuhangat.blogspot.com

Monday, April 27, 2009

Pesta Buku Antarabangsa KL 2009

Assalaamu'alaikum

Baru-baru ini, iaitu dari 17hb hingga 26hb April 2009, telah berlangsung di PWTC, KL, Pesta Buku Antarabangsa KL (PBAKL) 2009. Seperti biasa, lebih seminggu ianya diadakan, Dan seperti biasa, akulah orang yang jarang melepaskan peluang untuk mengunjunginya.

Namun tidak seperti pada PBAKL sebelum-sebelum ini, pada tahun ini, aku terlambat sedikit mengunjunginya. Aku mula menjengahnya pada hari ke 5. Tidak seperti biasa. Biasanya pada awal-awal ia dirasmikan aku telah menjengahnya. Ada banyak sebabnya mengapa kali ini aku terlewat sedikit. Antaranya, bajet buku aku untuk tahun ini sudah habis. Aku telah menggunakannya ketika aku mengunjungi pesta buku Mesir baru-baru ini. Sebab itulah semangat aku untuk membeli buku di PBAKL ini sudah tiada. Dan sebab itu jugalah aku melambatkan kunjunganku ke sana.

Aku biasanya pada awal-awal PBAKL dirasmikan aku telah menjengahnya kerana aku tidak mahu terlepas buku-buku yang terkadang awal-awal lagi sudah kehabisan. Untuk mengelakkan perkara itu daripada berlaku, awal-awal ia dibuka aku telah pun mengunjunginya.

Pada tahun ini, selain alasan bajet menyebabkan semangatku yang telah berkurangan untuk membeli buku, ada alasan-alasan lain yang membuatkan semangat aku semakin kurang. Antaranya ialah saiz PBAKL tahun ini telah dikecilkan dibandingkan dengan PBAKL lepas-lepas. Jika dulu, selain dewan di bangunan utama, dewan besar di bahagian luar (aku tidak mengingati namanya) juga digunakan untuk menambahkan ruang PBAKL. Tapi tahun ini tidak ada lagi. Aku tidak pasti apakah sebabnya. Adakah kerana masalah ekonomi yang melanda dunia atau ada alasan-alasan lain. Suasana menjadi agak padat kerana semua pengunjung tertumpu pada satu bangunan, ada beberapa gerai tidak kelihatan, tata letak gerai sudah berubah dan rasanya seperti ada sesuatu yang kurang.

Aku rasa banyak buku yang menarik yang terdapat di pesta buku kali ini. Walaupun aku sempat hanya melihatnya secara sekilas pandang sahaja kerana aku tak bersemangat untuk membeleknya satu persatu. Cuma apa yang aku tidak pasti adalah apakah trend penerbitan buku (terutamanya buku-buku agama) untuk tahun ini. Secara sekilas pandangan, trend penerbitan buku pada tahun ini agak pelbagai, tiada trend tertentu. Pilihan menjadi bertambah banyak.

Antara buku yang agak menarik perhatianku di pesta buku ini adalah;
  • Himpunan tulisan Tun Mahathir di blog beliau. Mungkin ada orang yang tertarik untuk menjadikan tulisan beliau sebagai bahan rujukan. Jadi inilah peluang bagi meraka. Aku tidak membelinya atas alasan yang telah kukatakan tadi.
  • Siri Soal jawab persoalan-persoalan agama yang remeh temeh yang anda malu bertanya tentangnya; zakat, solat dsb. Keluaran Telaga Biru. Agak menarik siri-siri ini dan agak unik pemilihan tajuk-tajuknya. Mungkin ia boleh disamakan dengan siri buku-buku panduan Idiot Guides dan siri Dummies. Tapi yang ini dalam bidang agama dan dalam bahasa melayu. Moga isinya memuaskan.
  • Siri panduan membuka perniagaan, Bela lembu dsb (aku tak ingat bidang-bidang lain kerana aku tak bawa buku nota untuk mencatatkannya. Agak menarik tajuk bidang-bidang lain). Keluaran PTS.

Banyak lagi buku-buku lain, tapi aku tak mengingati judul-judulnya kerana aku tidak focus dalam kunjunganku pada kali ini. Kalau ada buku yang aku beli, tentu seronok jika aku boleh membuat ulasan mengenai buku-buku itu di sini.

Hasil pemerhatianku kepada kemeriah buku-buku yang diterbitkan dan para pengunjung yang datang ke pesta buku ini ialah buku masih lagi relevan untuk bahan bacaan. Tidak dapat nafikan kepentingannya sekalipun sekarang ini ramai orang lebih suka melayari internet untuk membaca dan mencari bahan maklumat.

Akhir sekali aku ingin berkongsi beberapa tips membeli buku melalui beberapa pengalaman. Antaranya:

  • Lihat tahun cetakan buku tersebut.
  • Lihat tempat cetakan (penting bagi yang mahukan cetakan tempat tertentu seperti Malaysia daripada Indonesia. Sebab masalah bahasa).
  • Lihat bilangan cetakan. Berguna untuk mengetahui sambutan orang ramai kepada buku tersebut.
  • Buat perbandingan harga di antara kedai-kedai.
  • Penilaian buku (untuk perbandingan terbitan atau sebagainya}: Menilai buku bukan sahaja kerana kecantikan kulitnya dan tajuknya. Tetapi isi, olahan, tata cetak dan harganya.

Mungkin banyak lagi tip-tip lain daripada orang lain. Cukuplah ini sebagai tips daripada aku.


Sekian, wassalam.

Friday, April 17, 2009

Selamat Tinggal Mesir

Assalamualaikum wrt. wbt .

Agak lama aku tidak mengupdate blog aku. Sejak pulang ke Malaysia, minat dan keluangan masaku sudah tidak sama lagi sepertimana ketika aku di Mesir. Di Malaysia, walaupun aku mempunyai keluangan masa, namun semangat untuk mengupdate blog sudah berubah. Jangankan kata hendak mengupdate blog, hendak melayari internet pun jarang. Di sini aku cuba melakarkan sepatah dua kata agar ia dapat menjadi penerus semangat dan kesinambunganku untuk terus berkongsi bicara di ruang maya ini dan aku dapat terus bertitle 'blogger' (Walaupun selama ini aku belum layak bergelar dengan gelaran itu).

Alhamdulillah aku telah selamat menjejakkan kakiku semula ke tanahairku Malaysia pada beberapa minggu lalu. Aku mengucapkan ‘Sayonara Mesir’ kepada tempat saudara-saudaraku seIslam di Mesir. Semoga kalian dirahmati, dilindungi Allah s.w.t dan jumpa lagi insyaAllah.

Bersyukurlah aku selamat tiba di Malayisa. Alhamdulillah aku sihat, tidak mengalami apa-apa masalah perubahan cuaca dan dapat terus membuat kerja-kerja harian seperti biasa. Rasanya kerana tidak lama aku meninggalkan Malaysia dan di Mesir juga aku berpeluang untuk menjumpai makanan-makanan Asia Tenggara, maka aku tidak melepaskan rindu sangat dengan masakan-masakan Malaysia. Biasa-biasa sahaja.

Entah bilakah lagi aku berpeluang untuk ke Mesir untuk kali kedua. Aku bukan telah jatuh cinta dengan Mesir menyebabkan aku teringin ingin untuk ke sana sekali lagi. Tapi kerana rasanya belum puas aku di sana, masa pula tidak mengizinkan untuk aku tinggal lebih lama sana. Maka terpaksalah aku meninggalkan bumi Mesir tempat saudara-saudara seIslamku yang banyak karenahnya. InsyaAllah ada rezeki, aku akan sampai ke sana lagi.

Teman-temanku di Mesir pernah memberitahuku, ada satu kata-kata yang terkenal di Mesir “Sesiapa yang pernah minum air sungai Nil dia akan kembali sekali lagi ke Mesir.” Aku tidak tahulah sejauh mana kebenaran kata-kata ini. Kemungkinan banyak kebenarannya. Atau mungkin perkara ini berlaku di atas mana-mana tempat sahaja yang pernah diduduki oleh seseorang dalam tempoh masa yang lama. Maka dia akan berniat untuk kembali kepadanya pada suatu hari nanti. Ada kebarangkaliannya. Atau atas alasan-alasan lain. Jika benar kata-kata itu, insyaAllah ada rezeki aku ke sana lagi.

Setelah banyak pancaroba yang telah kulalui sebelum pulang, akhirnya tiba juga aku di Malaysia. Tidak banyak perkara yang ingin aku coretkan tentang kisah perjalanan pulangku. Cuma seperkara dua yang ingin catatkan di sini, iaitu apa yang aku lihat ialah pemeriksaan di lapangan terbang Mesir untuk berlepas agak ketat. 6 pemeriksaan passport dibuat oleh pihak berkuasa Mesir terhadap penumpang sebelum mereka memasuki pintu kapal terbang. Di Malaysia dulu, semasa aku mahu berlepas 1 kali sahaja.
Ketika aku tiba di KLIA, tiada kastam yang menunggu di laluan keluarku aytu memanggilku untuk membuat pemeriksaan. Kemungkinan mereka telah mengimbas beg aku. Atau kerana aku rakyat Malayisa maka mereka tidak perlu cek. Atau adakah mereka terlalu cekap higgakan tidak perlu membuat pemeriksaan. Aku bimbang tentang selama ini banyak berita mengenai penyeludup dadah berani membawa dadah melalui KLIA. Aku bimbang jika sebabnya adalah sistem kita yang begitu.

Setelah itu aku terpaksa memandu kereta untuk pulang ke KL. Agak tercangak-cangak juga mencari jalan yang pernah ku lalui. Apa yang agak mengecewakanku adalah walaupun kita bagai sering mengambil berat tentang kemajuan dibandingkan dengan Mesir. Masih ada dua tiga papan arah jalan yang mengelirukan yang mengambarkan kita bagai tidak maju. Papan tanda ikut suka nak pasang. Hampir sahaja aku tersesat. Manakan tidak, tertulis di papan tanda di sebelah kiri ke KL e arah kiri. Papan tanda kanan juga tertulis ke arah KL?! Bagi orang yang sedang keletihan seperti aku tentu berasa bengan.

Oklah. Sebenarnya dahulu banyak lagi ole-ole kisah Mesir yang aku tak sempat ceritakan. insyaAllah bila-bila ada masa, ada mood dan umur panjang aku ceritakan lagi.

Wassalam

Thursday, April 2, 2009

Bersolat di Mesir

Mungkin agak pelik tajuk ini. Namun setelah aku terangkan nanti mungkin baru dapat difahami maksudnya. Bersolat di Mesir sebenarnya tiada apa-apa perbezaannya dengan solat di mana-mana. Orang Islam Mesir bukanlah bermazhab Maliki yang mempunyai banyak perbezaan solatnya dengan solat mazhab-mazhab lain. Contoh solat mazhab Maliki; tangan dilepaskan, jari digerakkan dalam tasyahhud dan sebagainya. Orang Mesir kebanyakkannya bermazhab…Syafie. Jadi cara mereka solat adalah sama dengan kita. Aku teragak-agak untuk mengatakan bahawa mereka bermazhab Syafie adalah kerana sepanjang aku solat subuh di masjid di Mesir hanya sekali sahaja imamnya membaca Qunut subuh .

Namun sebenarnya bukanlah perkara ini yang ingin aku tonjolkan di sini. Apa yang aku ingin kongsikan adalah praktik mereka bersolat.

Kelainan orang Mesir bersolat adalah antaranya; bagi pekerja atau peniaga yang tidak pergi solat berjemaah, mereka biasanya akan bersolat di kali lima kedai atau restoran mereka atau di mana-mana ruang kedai mereka. Asal saja tempat itu muat untuk bersolat (bukan di depan tandas atau dalam tandas). Tidak kisahlah sama ada ketika itu ada pelanggan atau tidak. Ini kerana kebanyakan kedai di mesir biasanya tidak mempunyai bilik khas solat. Di bangunan pejabat pun, mereka biasanya solat secara berjemaah beramai-ramai di mana-mana kaki lima bangunan. Mereka tidak mempunyai surau. Mereka hanya memerlukan tikar sembahyang. Tidak kisahlah cantik atau tidak. Asal tidak bernajis. Maka mereka bersolat di tepi tempat orang lalu lalang. Sungguh mudah cara hidup mereka. Aku segan nak ambil gambar saat-saat itu. Jadi tak ada gambar untuk itu.

Di sesetengah tempat pula, kita boleh melihat orang bersolat di atas rumput. Biasanya ini tidak memerlukan kepada apa-apa tikar. Betul-betul di atas rumput. Temanku pernah berkata kepadaku, “Inilah kelebihan Mesir yang sukar ditemui di Malaysia”.

Mungkin ada hikmahnya cara hidup mereka begini. Mungkin kerana tubuh badan mereka besar-besar, mungkin kalau nak buat surau, berapa besar pun tak cukup.

Di Mesir jarang terdapat surau. Kesemuanya masjid. Saiz masjid-masjid di Mesir tidaklah besar. Jarang yang besar. Tapi banyak. Terutamannya di Kaherah. Sebab itulah ia pernah diberi jolokan ‘The City of thousand Mosques’.

Di dalam masjid, biasanya ada sederet kerusi di saf belakang. Itu adalah untuk orang-orang tua yang telah uzur. Mereka solat secara duduk di kerusi di saf belakang walaupun dipisahkan dengan banyak saf-saf yang masih kosong.

Di antara kelainan bersolat di Mesir adalah jika ada saf di antara dua tiang mereka akan tinggalkan. Mereka biasanya tidak akan membuat saf di antara dua tiang (kecuali dalam solat jumaat dan terawih).

Dan satu lagi mereka biasanya membetulkan saf dengan hujung jari kaki. Bukannya dengan tumit sepertimana di tempat kita. Dan mereka tidak semestinya membuat saf di dalam kotak saf. Ikut suka mereka. Asal saja ada bentuk agak-agak garisan di lakaran sejadah masjid yang membolehkan mereka meluruskan saf, maka itu jadi panduan untuk meluruskan saf. Perkara ini sebenarnya bukanlah disenangi oleh orang pihak masjid sendiri. Aku pernah melihat ada pihak masjid yang cuba mendidik ahli jemaahnya agar buat saf dalam kotak saf. Tapi itu semua sia-sia belaka.

Jangan terkejut jika ketika anda sedang bersembahyang ada orang menegur anda, menuntun anda ke depan atau kebelakang atau sebagainya. Macam-macam boleh berlaku. Antara sebab anda kena tegur adalah kemungkinan ketika itu ada dua jemaah dalam satu masa. Maka jemaah kedua kena dibatalkan. Antaranya…aku pernah bersolat sunat di tempat lelaki di ruang belakang di salah sebuah masjid. Tiba-tiba ada seorang wanita datang bersolat di situ. Kemudian aku terdengar suara orang tua sedang bercakap. Selesai solat, rupanya orang tua itu menegurku supaya aku memberhentikan solatku kerana wanita itu sedang bersolat di situ.

Sesuatu yang aneh lagi adalah, jika ada seseorang baru takbir untuk solat sunat, tiba-tiba bilal iqamat. Dia akan terus memberhentikan solat sunatnya dengan memberi salam ketika itu juga dengan cara berdiri. Aku tak pasti sama ada perkara ini dibolehkan atau tidak kerana inilah kali pertama aku menyaksikannya.

Banyak lagi keanehan praktik solat di Mesir. Banyak kes-kes kecil yang aku tak ingat atau aku malas ceritakan kerana nak ringkaskan cerita. Semoga bingkisan ini dapat membuka satu lagi dimensi baru kepada kita terhadap keagungan kebijaksanaan Allah s.w.t. dalam mencipta bangsa-bangsa yang mempunyai cara tersendiri yang pelbagai-bagai. Waallahu’alam.