Thursday, February 25, 2010

Antivirus Rohani

Antivirus apakah yang anda gunakan untuk diri anda?

Sudah menjadi kebiasaan kita kita suka memberikan perumpamaan tentang manusia dengan benda-benda di sekeliling kita yang sering kita gunakan. Ia adalah suatu cara yang kreatif dan mudah difahami.

Jika di zaman dahulu, orang melayu sering memberikan perumpamaan-perumpamaan dengan perkara-perkara disekeliling mereka seperti tumbuh-tumbuhan, binatang dan lain-lain. Bila zaman sudah agak maju sedikit, mereka menggunakan perumpamaan-perumpamaan dengan mengunakan benda-benda yang agak moden sebagai bahan perumpamaan. Seperti kereta, plastic, dan lain-lain. Contoh yang biasa kita dengar ialah… “sistem tubuh badan kita ibarat enjin kereta”, “Ibarat mencurah air ke atas plastik, dan sebagainya.

Apabila zaman telah memasuki era IT, perumpamaan-perumpamaan baru yang sesuai dengan era ini pun timbul. Sebagai contoh, istilah “virus”. Walaupun istilah ini telah lama digunakan dalam bidang perubatan. Namun pengunaannya sejak era IT lebih banyak kedengaran. Ini kerana computer adalah peralatan utama di zaman ini. Dan kehidupan manusia banyak berkait rapat dengan peralatan ini sekarang.

Namun, walaupun orang ramai telah banyak menggunakan istilah virus untuk memperumpamakan segala jenis elemen buruk yang boleh menyusup dan merosakkan manusia, contohnya “orang yang fasik ibarat virus”, “virus bagi pemikiran” dan sebagainya, namun masih lagi terhad.

Bagaimana jika kita tambahkan lagi perumpamaan dengan virus dengan; Jika anda menggunakan antivirus Avira, Norton, AVG, Karspesky atau sebagainya untuk melindungi serta membersihkan computer anda daripada virus; antivirus apakah pula yang anda gunakan untuk menjaga dan membersihkan hati atau rohani anda?

Rohani kita pun ibarat komputer. Ianya mudah terkena serangan virus. Virus-virus yang menyerang rohani kita tidak merosakkan sistem fizikal kita. Malah ia menyerang perkara yang paling penting dalam jiwa kita iaitu IMAN kita. Jika iman kita terkena virus, iman kita menjadi lemah.

Virus-virus jiwa adalah keinginan-keinginan kotor kita dan kesan-kesan dosa kita. Ia jika dibiarkan, lama-kelamaan ia akan menghitamkan rohani kita.

Antara tanda-tanda seseorang itu dijangkiti virus rohani ialah dia semakin malas atau berat untuk melakukan ibadat, semakin kurang merasa takut kepada Allah s.w.t, dan suka menganggap segala dosa sebagai ringan dsb. Jika virus-virus itu semakin kronik, akan menimbulkan gejala-gejala lain yang melampau; seperti akan mencuri, membunuh, memperkosa, merompak, meragut dsb.

Jika cara computer “terjangkit” virus adalah melalui sumber plug usb atau sumber internet, virus rohani pun terkena virus dengan cara yang sama iaitu dengan “diplug” dengan sesuatu atau dari sumber maya.

Maksud “diplug” disini bukanlah diplug dengan usb tetapi dengan makanan haram dan subahat. Makanan haram dan subahat adalah sumber virus yang boleh menghitamkan rohani kita dan seterusnya merosakkannya.

“Sumber maya” yang dimaksudkan di sini bukan sumber internet. Tetapi adalah dosa-dosa selain makanan dan minuman. Seperti melihat, mendengar, berkeinginan, dan melakukan perkara-perkara yang haram.

Jika bagi virus computer ada nama-namanya; Trojan, I love u dan sebagainya, virus rohani ada nama-namanya juga. Iaitu tamak, hasad, ujub, derhaka, takabbur dsb.

Jika cara untuk membersihkan computer daripada serangan virus adalah sama ada dengan menyucinya dengan jenis-jenis anti virus yang terdapat di pasaran, atau diformat semula; (jika virus tersebut terlalu kronik). Begitu juga cara untuk melindunginya. Namun bagaimana pula untuk membersihkan atau melindungi hati daripada virus. Antivirus apa yang boleh dipakai?

Antivirus yang boleh dicadangkan untuk membersihkan dan melindungi rohani daripada virus adalah:

1. Banyak Istighfar
2. Bersolat
3. Baca Al-Quran
4. Berzikir (Ma’thurat dsb)
5. Berpuasa
6. Bersedekah
7. Berfikir agamis; seperti takut kepada Allah, tidak tamak, tawaddu’, pemurah, menghadiri majlis ilmu dan tazkirah dsb.

Jika untuk mengelakkan computer daripada terkena virus adalah dengan mengelakkan memplug usb-usb yang mengandungi virus atau membuka laman-laman web yang berisiko mengandungi virus, begitu juga dengan cara mengelakkan hati daripada terkena virus. Iaitu dengan tidak memakan makanan yang haram dan subahat, mengelakkan diri daripada melihat, mendengar, berfikir dan berbuat perkara-perkara yang haram.
Banyak buat amal dan berdoa.
Wallahu’alam

Kesan Membaca Novel

Ini adalah suatu topik yang telah lama aku pendamkan untuk menulisnya. Aku sering menangguhkan hasratku untuk menulisnya kerana sebelum ini aku tiada sokongan pendapat daripada orang lain. Namun baru-baru ini ketika aku sedang menyelak sebuah buku aku terjumpa suatu pendapat yang hampir serupa dengan pendapatku. Iaitu tentang kesan negatif membaca novel.

Buku yang aku maksudkan adalah buku tulisan Dr. ‘Aidh Al-Qarni yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu dengan judul “Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia”, (ianya kepunyaan seorang perempuan). Aku terpandang sedikit kata-katanya mengenai keburukan sesetengah novel. Iaitu baginya sesetengah novel boleh membuatkan manusia khayal, tidak berpijak di dunia yang nyata malah membahayakan diri mereka sendiri.

Beliau berkatanya: “Sesungguhnya kebahagiaan anda terletak pada ilmu pengetahuan dan pandangan hidup yang lurus, sedangkan hal seperti itu tidak diperolehi dari kisah-kisah romantic atau murahan yang membuat pembacanya mengkhayal dan melayang jauh dari reality dan terpisah dari dunianya. Anda mungkin akan menemukan di dalamnya mimpi-mimpi yang indah dan memabukkan. Tetapi hasil yang anda perolehi adalah pengkerdilan sifat keperibadian. Sesuatu yang menghanyutkan dan membunuh, bahkan lebih bahaya dari itu.

Sebagai contoh hal seperti itu boleh dibaca menerusi novel-novel tulisan Agatha Chirtie yang mengajarkan pengkhianatan, jenayah dan perkara-perkara negative yang lain. Dalam pada itu saya juga telah menelaah sebuah buku yang mendapat hadiah Nobel. Padahal setelah membacan buku itu saya dapati ia sangat merbahaya dan penuh kekeliruan dan kepandiran. Memang ada beberapa novel yang bagus, dilihat dari aspek sastera dan kreativiti, seperti novel “Orang Tua dan Laut” oleh Ernert Hemingway dan beberapa novel lainnya yang menghindari kelucahan melampau dan tidak bertentangan dengan nilai-nilai mulia…Ramai sekali orang tanpa sedar telah menjadi mangsa dari sebuah tulisan dan mungkin terbunuh kerana sebuah novel”
. (Muka surat 24, terbitan Pustaka Jasmine).

Aku amat bersependapat dengan Dr ‘Aidh dalam hal ini. Kerana ketika zaman awal remajaku dahulu, aku pernah terlalai seketika seperti remaja lain dengan membaca novel-novel percintaan. Novel-novel itu aku pinjam daripada beberapa orang teman. Aku membacanya kerana sikap ingin tahu, maklumlah remaja. Namun aku segera sedar dari kealpaanku. Kemudian aku terus meninggalkan membaca novel sehingga kini. Malah aku sekarang melarang orang daripada membaca novel.

Kemudian ketika di zaman universitiku, aku sering mengeluh dan menyesali masa-masa yang telah aku habiskan dahulu untuk membaca novel. Walaupun aku sempat membaca beberapa buah novel sahaja, dan tempoh masanya terhad, tetapi masa-masa yang telah kuhabiskan dengan membaca novel pada waktu-waktu itu amat ku kesali di zaman universitiku. Aku rasa tiada apa-apa faedah yang dapat aku manfaatkan dari membaca novel untuk diriku. Sama ada untuk kegunaanku, dunia akedemikku atau masa depanku.

Membaca novel percintaan adalah lebih teruk kesan buruknya daripada mendengar lagu percintaan atau menonton filem percintaan (yang tidak mengandungi unsur seks). Kerana mendengar lagu tentang percintaan hanya untuk beberapa minit dan menonton filem tentang percintaan hanya dua jam. Tapi membaca novel memakan masa berhari-hari.

Tidak dinafikan terdapat novel-novel yang baik, memberi faedah dari sudut bahasa dan lain-lain. Tapi ianya terlalu sedikit jika dibandingkan dengan novel-novel yang mengarut. Namun ia masih tetap khayalan. Aku bukan buta seni. Tapi aku suka berpijak dibumi yang nyata.

Novel-novel yang dari barat lagi teruk. Malah novel yang memenagi hadiah Nobel dari sana pun tidak boleh diharap sepertimana yang disebutkan oleh Dr. ‘Aidh tadi. Kebanyakkannya mengandungi unsur-unsur lucah. Mengarut sama seperti filem-filemnya.

Aku pernah cuba mahu berkongsi kesedaranku ini dengan orang lain. Aku tidak mahu mereka tertipu dan terbuai dengan khayalan-khayalan yang melalaikan. Tetapi malangnya tiada siapa yang mahu mendengar kata-kataku. Kerana trend meluas adalah membacanya dan tiada orang lain pernah menentangnya.

Mungkin bagi sesetengah orang membaca adalah budaya yang baik, tidak kiralah novel atau bukan novel. Keran novel kebanyakkannya tidak pernah mengajak manusia berbuat kemungkaran. Malah orang-orang yang membaca novel biasanya insan-insan yang ok. Tetapi bagi mereka yang ingin menjadi insan cemerlang, membaca novel adalah satu hambatan yang amat merugikan.

Di Malaysia, novel-novelnya kebanyakkannya tidak mengandungi elemen-elemen negative. Kerana itu adalah strategi bisnes. Malah watak hero dan heroinnya pasti watak-watak orang yang baik. Namun pun begitu, ia masih tidak digalakkan untuk dibaca kerana tidak ada apa-apa faedah yang dapat diperolehi daripadanya.

Aku mendapat tahu bahawa jualan buku-buku novel adalah kedua tertinggi di Malaysia selepas buku-buku agama. Jualannya melebihi jualan buku-buku ilmiah. Di mana-mana ada dijual novel. Hatta di kedai stesen minyak pun ada.

Jadi kesimpulanku adalah aembaca novel boleh membuatkan manusia dibuai mimpi, khayal dan tidak berpijak dibumi yang nyata. Malah lebih parah dari itu, membaca novel boleh menyebabkan manusia jatuh ke lembah kegagalan dan kemaksiatan. Jadi, fikir fikirkanlah.

Anekdot: Ramalan yang Tepat

Assalamu’alaikum wrt. Wbr.

Sudah lama aku tidak mengupdate blog aku. Masalahnya adalah urusan-urusanku tidak mengizinkan aku untuk mencari idea-idea untuk menulis. Kebetulan baru-baru ini aku mendapat sedikit peluang. Lalu aku menyiapkan 3 artikel. Tapi malangnya setelah siap artikel-artikel itu, aku gagal mempostkannya. Aku tidak tahu apa puncanya. Setiap kali aku cuba sign in, aku gagal. Aku sangkakan server blogspot.com yang ada problem. Jadi ku biarkan. Namun tetap aku mencuba untuk beberapa hari sehingga seminggu. Tidak juga dapat. Tadi aku ke TM Point. Ketika di sana aku mencuba menggunakan internet freenya. Aku cuba sign in ke blogku, rupanya boleh. Rupa-rupanya tiada apa-apa masalah pada blogspot.com. Sahlah yang berproblem adalah PC aku.
Artikel ini aku postkan menggunakan laptop orang lain. Genuhlah aku nanti. Jika setiap kali aku hendak post posting baru aku terpaksa pinjam laptop orang.

Baiklah ini bingkisanku...

Anekdot: Ramalan Islam yang tepat

Baru-baru ini ketika aku sedang membelek sebuah kitab Arab, iaitu kitab Al-Bidayah wa An-Nihayah, karangan Ibn Kathir, aku terbaca sebuah kisah yang menarik tentang suatu ramalan yang pernah dibuat yang tepat berlaku seperti apa yang diramalkan.

Kisah itu berlaku sekitar tahun 833M. Ramalan tersebut adalah tentang kejayaan tentera Islam menawan kembali kota Bait Maqdis daripada tangan tentera kristian yang telah menawannya semenjak sekian lama.

Apa yang menarik adalah dikisahkan bahawa terdapat seorang ahli tafsir bernama Ibn Barjan. Beliau pernah menulis di dalam kitab tafsir al-Qurannya pada tahun 822M bahawa umat Islam akan berjaya menawan kota Bait Maqdis pada tahun 833M. Iaitu 11 tahun selepas dia menulisnya. Dan perkara itu terjadi tepat seperti apa yang diramalkan. Iaitu selepas 11 tahun kemudian!

Sungguh menakjubkan! Bagaimana dia boleh memberi ramalan yang sebegitu tepat tentang kemenangan itu? Pengarang (Ibn Kathir) memetik kata-kata Abu Hasan As-Sakhawi yang memberi komentar terhadap peristiwa tersebut bahawa perkara itu bukan daripada Ilmu Huruf (iaitu ilmu ramalan yang bersumberkan huruf-huruf). Tetapi dia telah mengambil kesimpulan daripada awal surah Ar-Rum iaitu firman Allah s.w.t. yang bererti: “Alif Laam Miim, Rom telah dikalahkan di bumi yang rendah. Dan mereka setelah mereka dikalahkan mereka akan menang dalam beberapa tahun”. (Surah ar-Rum: Ayat 2)

Apa yang bermain di fikiranku adalah bagaimana dia dapat mengambil kesimpulan daripada ayat tersebut untuk memberi ramalan itu? Sungguh hebat ilmunya. Jangan salah sangka. Bukan segala ilmu tentang angka-angka itu benar. Lihat di sini.

Baiklah, sekadar ini sahaja bingkisanku. Semoga ada faedah yang kita boleh dapatkan daripada kisah ini.