Monday, October 27, 2008

Beraya di Mesir

Biar pun agak terlewat aku menulis posting ini, kerana raya sudah hampir habis. Tetapi memandangkan ada teman-teman yang menginginkan aku menceritakan tentang pengalaman beraya di Mesir, maka aku tuliskan juga topik ini sekadar yang aku mampu untuk tatapan semua.

Beraya di Mesir sememangnya amat berbeza dari beraya di Malaysia. Ini kerana tiada dendangan lagu-lagu raya di mana-mana, tiada jualan murah atau jualan benda-benda lain yang berkaitan dengan raya dan tiada hiasan tertentu untuk raya. Keadaan hari-hari hampir dekat raya sama seperti hari-hari biasa. Tiada beza.

Pada pagi raya, sebelum sembahyang raya diadakan, barulah ada suara-suara takbir berkumandang di corong-corong pembesar suara daripada masjid-masjid Mesir. Sembahyang raya tidak diadakan di dalam masjid. Sebaliknya diadakan di kawasan-kawasan lapang yang berdekatan dengan masjid. Seperti di tempat letak kereta ataupun di jalan-jalan raya yang luas yang bukan jalan utama (bagi masjid yang tiada tempat lapang berdekatan dengannya). Karpet-karpet dihamparkan di atas dataran atau jalan-jalan tersebut untuk memudahkan orang ramai bersembahyang.

Bilangan hadirin adalah ramai. Kanak-kanak dan kaum wanita turut serta menyertai solat hari raya sepertimana yang disunatkan dalam hadith Nabi s.a.w. menyebabkan keadaan agak meriah.

Orang Mesir tidak memakai baju baru untuk pergi ke solat hari raya. Mereka sememangnya tidak ada baju raya. Mereka hanya memakai pakaian harian biasa untuk pergi ke solat. (Mungkin yang terbaru).Malah khatibnya juga hanya memakai baju kot semasa menyampaikan khutbahnya.

Khatib menyampaikan khutbah
Selepas solat, khutbah disampaikan kira-kira 15-20 minit. Kemudian semua orang bersurai. Tiada bermaaf-maafan. Tiada kemeriahan. Hanya yang ada adalah saling bertegur sapa. Kemungkinan kerana lama tak berjumpa. Selepas itu semua pulang ke rumah masing-masing. Ada orang mengatakan bahawa orang Mesir biasanya selepas solat raya mereka akan pergi berkelah di taman-taman. Aku tidak dapat pastikan dan aku tidak dapat menyaksikannya sendiri kerana aku selepas itu terus menghadiri majlis hari raya di asrama penuntut Malaysia. Meriah juga majlisnya. Hampir semua pelajar Malaysia yang berada di Kaherah menghadirinya. Kerana inilah peluang bagi mereka merasai suasana hari raya seperti di Malaysia. Lihat gambar.


Budaya ziarah-menziarahi di hari raya tiada bagi masyarakat Mesir. Mereka juga tiada juadah-juadah khas hari raya dan tiada duit raya untuk diberikan kepada kanak-kanak. Hari raya bagi mereka seperti hari biasa. Cuma ada cuti am dan ucapan “Selamat hari raya” sepanjang bulan Syawwal.

Aku tidaklah terasa sayu sangat beraya di Mesir, kerana alhamdulillah setiap minggu ada saja jemputan menghadiri rumah terbuka yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu.(Walaupun tidaklah sebanyak di Malayisa). Jadi tidaklah terasa sayu sangat beraya di perantauan ini. Aku masih dapat merasai juadah raya Malaysia. Walaupun tidak banyak sangat. Merasa jugalah aku suasana raya di Mesir. Sekian.

Saturday, October 18, 2008

Masjid Unik


Sekali tengok...macam bukit biasa. Rupanya sebuah masjid. Terletak di Ras, UAE.




Saturday, October 11, 2008

Perasankah kita...


Perasankah kita semasa kita bangun tidur di waktu pagi kita masih lagi bernyawa? Sedangkan kematian boleh datang semasa kita tidur untuk kita terus tidak bangun. Bersyukurlah kepada Allah s.w.t. kerana masih menghidupkan kita.

Perasankah kita terhadap setiap angota badan kita dan fungsi-fungsinya? Siapakah kalau bukan Allah yang menciptanya dan memberikannya kepada kita.

Perasankah kita pada setiap hari kita menggunakan air, udara, cahaya matahari dan nikamat-nikmat lain. Siapakah yang memberikannya kepada kita kalau bukan Allah s.w.t.

Perasankah kita lidah kita masih boleh merasai makanan dan bertutur dan anggota badan kita tiada seinci pun yang mengalami kesakitan? Bayangkan jika nikmat lidah sudah tiada dan terdapat seinci di tubuh kita yang sedang mengalami kesakitan, walaupun ianya kecil, bukankah seluruh hidup kita akan susah?

Perasankah kita bila kita sering melakukan dosa, Allah s.w.t. tidak terus mengambil tindakan terhadap kita? Malah Dia memberikan kita peluang untuk bertaubat dan menginsafi diri. Bersyukurlah kepada Allah kerana mengasihani kita.

Perasankah kita lagi bila kita melakukan dosa Allah menutupnya daripada pengetahuan orang ramai? Jika Allah memdedahkannya kepada orang ramai tentu sukar hidup kita dan kita akan kehilangan rakan dan taulan.

Perasankah kita ketika kita mahu tidur, kita masih boleh tidur dengan selesa. Malah kita dapat merehatkan tubuh badan kita setelah kepenatan. Bayangkanlah jika kita kehilangan nikmat tidur. Apakah yang akan terjadi kepada kita?

Perasankah kita bahawa setiap hari kita jarang mensyukuri nikmat-nikmat Allah s.w.t.?

Maka bersyukurlah kepada Allah di atas segala nikmat-nikmatnya. Sembahlah Dia. Taatilah Dia. Dialah tuhan yang maha mengasihani hamba-hambanya lagi maha agung.

Thursday, October 2, 2008

Catatan Subuh Syawal


Alangkah syahdunya perasaan di subuh syawal. Bukan kerana adanya laungan takbir yang bersambut-sambut di corong-corong pembesar suara dari masjid-masjid Mesir. Tiada laungan takbir yang bersambut-sambut di sini seperti di Malaysia. Kesyahduan itu timbul kerana hilangnya satu teman yang amat berharga di subuh ini. Perasaan ini mungkin sukar timbul di Malaysia. Kerana biasanya di subuh Syawal di Malayisa kita sibuk dengan pelbagai perkara.

Teman yang aku maksudkan itu adalah Ramadhan. Dia tiada lagi setelah sebulan siang malam hidup bersamanya. Susah senang dengannya. Datangnya membawa rahmat. Melayannya membawa berkat. Setelah ia tiada lagi di pagi ini, agak sepi subuh pagi ini.

Tapi itulah lumrah kehidupan. Setiap yang datang akan pergi. Kecuali Allah s.w.t. Aku teringat kata-kata Saidina Abu Bakar r.a. kepada Saidina Umar r.a. ketika Saidina Umar r.a. tidak dapat menerima kewafatan Baginda Muhammad s.a.w. Saidina Abu Bakar r.a. berkata :“Sesiapa yang menyembah Muhammad sesungguhunya Muhammada telah mati. Tapi sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah kekal tidak akan mati.” Begitulah halnya dengan bulan Ramadhan. Kita terpaksa menerima pemergiannya. Kerana bukan kerananya kita beribadah. Kita beribadah kerana Allah. Kalau kita beribadah kerananya ia akan pergi. Tapi kalau kita beribadah kerana Allah. Allah kekal selamanya. Kita masih mempunyai satu ibadah yang menyambungkan hubungan kita dengan Allah s.w.t. ibadah itu adalah solat. Maka hiduplah dengan solat itu sepertimana kita hidup dengan bulan Ramadhan.

Dalam ramai-ramai orang, tentu ada orang yang merasa terkilan dengan kehilangan bulan Ramadhan sebab dia gagal mengisinya dengan baik. Semasa bulan Ramadhan masih ada, dia sibuk dengan perkara lain. Tapi setelah bulan Ramadhan pergi barulah dia merasa menyesal di atas ketaksirannya. Biasalah…bak seorang anak, ketika kedua orang tuanya ibubapanya masih hidup, dia bagai langsung tidak ambil peduli tentang kedua-duanya. Tetapi bila mereka sudah tiada, barulah dia merasa menyesal tidak buat itu dan ini untuk orang tuanya. Itulah manusia.

Ada orang yang keluar dari sekolah bulan Ramadhan dengan berjaya. Ada yang terpaksa menyambung belajar untuk berjaya. Dan ada pula yang terpaksa mengulang beberapa subjek untuk berjaya. Yang lebih malang lagi, ada yang tidak lulus langsung. Iaitu dia keluar dari bulan Ramadhan dengan jiwa yang kosong. Ramadhan langsung tidak memberi kesan ke dalam dirinya. Maka di peringkat manakah kita?