Skip to main content

Berpuasa di Mesir

Assalamualaikum wrt. wbt.

Minta maaf kerana sudah lama aku tak menghantar apa-apa posting ke blog ini. Ini disebabkan aku agak sibuk menyiapkan suatu tugasan. Di tambah pula dengan suasana sedang berpuasa yang tidak memungkinkan aku mencari idea untuk menulis. Kesilapan ingin menukar template blog kepada template baru membawa padah kerana aku tak dapat kembali ke template lama yang telah banyak aku tambah layoutnya. Sudah ku cuba banyak kali tapi gagal. Jadi semangat nak update blog pun berkurang. Tapi tidak mengapalah. Nanti aku akan cuba selesaikan masalah ini dengan cara lain.

Alhamdulillah, tugasan aku sudah selesai. Maka bolehlah aku menarik nafas lega dan dapat menikmati hari-hari terakhir di bulan Ramadhan tahun ini di samping mengupdate blog aku.

Bagai tak sedar, pejam celik, Ramadhan sudah hampir sampai ke penghujungnya. Tapi kali ini aku belum mahu membincangkan tentang raya. Nanti panjang posting aku dan menjemukan pula. Di sini aku cuma nak bercerita tentang bulan Ramadhan di Mesir. Aku belum sempat bercerita tentang berpuasa di Mesir sejak aku tiba di sini kerana kesibukan yang aku katakan tadi.

Berpuasa di Mesir sama seperti berpuasa di mana-mana. Tiada apa-apa yang ajaib. Orang Mesir menyambut bulan Ramadhan dengan penuh keinsafan dan kemeriahan sama seperti orang Malaysia.

Pada tahun ini bulan puasa di Mesir jatuh pada hujung musim panas. Jadi cuacanya agak panas. Agak meletihkan juga jika banyak melakukan aktiviti luar. Mungkin kerana dehydration. Namun begitu cuaca masih baik kerana anginnya tidak begitu panas, malah agak nyaman. Jadi tidaklah teruk sangat panasnya.

Untuk menceritakan tentang berpuasa di Mesir aku mulakan dengan umat Islam Mesir mempunyai satu tradisi dalam menyambut Ramadhan. Iaitu mereka ada suatu simbol sepertilah orang kita meletakkan simbol ketupat, bulan sabit atau pelita ketika mahu menyambut hari raya. Orang Mesir pula menggantung “fanoos”. “Fanoos” adalah sejenis lampu seakan tanglung yang berbentuk panjang dan bersegi. Mereka menggantungnya di depan rumah, depan kedai dan di pasar-pasar. Di katakan "fanoos" ini asal usulnya dulu dipasang sepanjang malam sebelum adanya teknologi lampu moden untuk menghidupkan suasana malam di bulan Ramadhan. Untuk mengetahui tentang bentuk lampu itu, sila lihat gambar.

Tentang bazaar Ramadhan. Di sini tiada bazaar Ramadhan tidak seperti di Malaysia atau mungkin di negara-negara lain. Di sini kalau ada pun, hanyalah orang menjual 2 jenis air. Iaitu Air Asam Jawa dan Air Campuran “Santan”. Kuih-kuih yang ada pula adalah kuih-kuih yang sama yang ada di bulan-bulan lain.

Tentang makanan berbuka puasa bagi orang Arab Mesir. Aku tak berapa pasti apakah makanan berbuka mereka. Kerana aku tidak pernah berbuka di rumah orang Arab. Tetapi yang aku pasti adalah mereka juga mempunyai masalah makan lebih banyak di bulan Ramadhan daripada bulan-bulan lain seperti masyarakat kita. Aku mengetahui perkara ini daripada sebuah rancangan TV yang aku tonton sebelum Ramadhan.

Aku ada beberapa kali berbuka di masjid di sini. Di masjid, pihak masjid memberikan beberapa biji kurma sebelum solat maghrib kepada para jemaah. Kemudian setelah solat, mereka memberikan nasi kuning dalam mangkuk dengan lauk daging rebus seketul besar dan sayur. Air pula cari sendiri. (Air kosong)

Solat terawih di sini pula kebanyakannya didirikan hanya lapan rakaat. Kebanyakan masjid-masjid yang kapasitinya kecil, imam-imamnya membacakan satu muka surat daripada al-Quran pada setiap rakaat. Mereka membacanya sambil membuka al-Quran besar di depan mereka. Maka pada satu malam tak habis satu juzz. Tetapi bagi masjid-masjid yang kapasitinya besar, imamnya akan membaca surah al-Quran dengan hafalan sebanyak satu juzz dalam lapan rakaat. Maka setiap rakaat agak panjang.



Maaidah Rahman

Selain di masjid-masjid, sesuatu yang agak berlainan di sini adalah di pinggir-pinggir jalan di sini terdapat khemah-khemah yang didirikan khas untuk orang ramai berbuka puasa secara percuma. Ia ditaja oleh dermawan-dermawan Mesir. Khemah-khemah tersebut dipanggil “Maaidah al-Rahman” Biasanya terdapat kain rentang yang tertulis “Maaidah al-Rahman” di khemah-khemah itu untuk memudahkan orang mengetahui tentangnya. Makanan yang disediakan agak lumayan. Aku belum sempat ke khemah-khemah tersebut. Kerana tempat aku agak jauh dari tempat-tempat itu. Lihat gambar khemah “Maaidah al-Rahman”. Itu gambar sebelum orang datang berbuka.

Bacaan Paling Popular

Seperkara lagi yang agak menarik di Mesir pada bulan Ramadhan adalah bacaan paling popular di bulan ini di sini adalah al-Quran. Di mana-mana, samaada di dalam kenderaan awam; bas, keretapi dan “trenco” (istilah bagi van kenderaan awam) atau di dalam kereta persendirian, ramai orang memegang al-Quran dan membacanya. Mereka bukan sahaja di kalangan orang dewasa, malah remaja-remaja, samaada remaja lelaki yang berpakaian smart atau anak-anak gadis yang bertudung dan berseluar jeans tekun membaca al-Quran di mana-mana di depan orang ramai. Aku tak ada gambar tentang ini. Kalau ada lagi best.

Pembayaran Zakat

Ini adalah perkara yang terakhir tentang Ramadhan di Mesir yang dapat aku coretkan di sini. Tiada amil untuk menerima zakat fitrah di sini. Tidak seperti di Malaysia. Di sini, sesiapa yang ingin membayar zakat fitrah mereka hanya perlu meletakkan duit zakat ke dalam tong-tong zakat yang di sediakan di masjid-masjid yang tertulis padanya “Zakat Fitrah”. Tiada amil di situ. Agak aneh bukan?

Aku dengar raya di sini tak meriah. Aku belum tahu keadaannya yang sebenar kerana aku belum melaluinya. Nanti selepas raya setelah aku melaluinya aku akan ceritakan insyaAllah. Baiklah sekadar ini coretan ku buat kali ini. Sekian.

The pictures in this article were borrowed from other sites. That is due to the limitation of my time to take it by myself.

Comments

Popular posts from this blog

Kesan Membaca Novel

Ini adalah suatu topik yang telah lama aku pendamkan untuk menulisnya. Aku sering menangguhkan hasratku untuk menulisnya kerana sebelum ini aku tiada sokongan pendapat daripada orang lain. Namun baru-baru ini ketika aku sedang menyelak sebuah buku aku terjumpa suatu pendapat yang hampir serupa dengan pendapatku. Iaitu tentang kesan negatif membaca novel. Buku yang aku maksudkan adalah buku tulisan Dr. ‘Aidh Al-Qarni yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu dengan judul “Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia”, (ianya kepunyaan seorang perempuan). Aku terpandang sedikit kata-katanya mengenai keburukan sesetengah novel. Iaitu baginya sesetengah novel boleh membuatkan manusia khayal, tidak berpijak di dunia yang nyata malah membahayakan diri mereka sendiri. Beliau berkatanya: “ Sesungguhnya kebahagiaan anda terletak pada ilmu pengetahuan dan pandangan hidup yang lurus, sedangkan hal seperti itu tidak diperolehi dari kisah-kisah romantic atau murahan yang membuat pembacanya mengkhayal dan melay...

Bahasa Arab Mesir

Umum mengetahui bahawa Mesir adalah sebuah negara Arab. Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa bahasa pertuturan di Mesir bukanlah bahasa Arab yang biasa didengar atau dubaca; iaitu bahasa standard. Seperti bahasa Bahasa Al-Quran, Hadith, bahasa penulisan dan ucapan rasmi.Bahasa Arab pertututran di Mesir adalah bahasa Arab loghat atau dialek “”Ammiyyah”. Bagi sesetengah orang, mengertikannya bahasa pasar. Pokoknya ada banyak perubahan dan perbezaan antara bahasa Arab standard dan bahasa slanga sehingga tidak dapat difahami. Punca Bahasa Arab Mesir menjadi loghat ‘ammiyyah adalah kerana dikatakan Mesir pernah menjadi pusat ketamaddunan dunia, maka pelbagai bangsa pernah datang dan mereka memberi kesan kepada penambahan bahasa Mesir. Salah satu lagi faktor adalah kerana Mesir pernah dijajah dalam tempoh yang panjang oleh pelbagai penjajah asing. Perkara ini juga menyebabkan bahasa Mesir dimasuki oleh bahasa-bahasa penjajah asing itu. Maka menurut orang Mesir sendiri, bahasa Mesir adal...

Makkah dikejutkan dengan hujan lebat 2 jam

Kekerapan hujan dan banjir di Malaysia menjadi perkara biasa tetapi di Makkah hujan merupakan perkara luar biasa dan dianggap rahmat Allah kerana bumi ambia ini jarng sekali menerima hujan. Cuaca panas di tanah suci Makkah yang mencecah melebihi 41 darjah Celsius sejak dua minggu lalu dikejutkan dengan hujan lebat hampir dua jam petang semalam. Hujan bermula kira-kira 5.30 petang waktu tempatan (10.30 malam waktu Malaysia) menyebabkan air melimpahi jalan-jalan di sekitar ibu kota Makkah, Aziziah, Syisya dan beberapa kawasan persekitarannya. Pasukan media Lembaga Tabung Haji (TH) yang dalam perjalanan ke Syisya kira-kira empat kilometer dari pusat bandar Makkah menempoh perjalanan dalam hujan lebat disertai petir petang semalam. Aliran trafik Kota Makkah yang sentiasa sibuk dengan kehadiran jutaan jemaah haji dari seluruh dunia bagaimanapun tidak terjejas kecuali jemaah-jemaah yang hendak menunaikan solat di Masjidil Haram kelihatan terkandas. Kota Makkah berdebu berikutan pe...