Friday, February 20, 2009

Kembara Sinai 2009

Sudah menjadi kebiasaan pelajar-pelajar Malayisa di
Mesir pada setiap tahun pada musim sejuk akan mengadakan rombongan ke Sinai. Sinai adalah sebuah negeri yang terletak di Tenggara Mesir, bersempadan dengan Israel, Jordan dan Arab Saudi. Antara sebab mengapa Sinai dikunjungi adalah kerana di sana terdapat beberapa tempat bersejarah. Antaranya 1. laluan Nabi Musa a.s membawa kaumnya Bani Israel ketika keluar dari Mesir. 2. Gunung Tur Sina, iaitu gunung yang Nabi Musa a.s. bercakap dengan Allah s.w.t. di atasnya 3. batu yang dikatakan dipukul oleh Nabi Musa .a.s. untuk mendapakan air, 4. kesan lembu Samiri yang pernah disembah oleh Bani Israel, 5. maqam beberapa orang nabi, iaitu Nabi Saleh a.s. dan Nabi Harun a.s., 6. kubu Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan juga beberapa tempat pelancongan lain, seperti pantai Dahab, Taba dan Sharm al-Sheikh. Baru-baru ini aku sempat mengikut salah satu rombongan mereka ke negeri itu.

Sinai bukanlah sebuah negeri yang subur. Kebanyakan permukaan buminya kering. Tidak seperti Kaherah, di Sinai, tidak banyak pokok dan tidak ramai orang mendudukinya. Kalaulah bukan kerana terdapat tempat-tempat bersejarah tadi, mungkin tiada siapa yang akan datang ke sini. Namun inilah laluan yang pernah dilalui oleh Nabi Musa a.s. ketika membawa Bani Israel melarikan diri dari bumi Mesir.

Sebelum tiba di tempat-tempat di Sinai, kami duhulunya melalui terusan Suez. Iaitu sebuah terusan buatan manusia yang terbesar yang menghubungkan antara benua Asia dan benua Eropah. Kemudian kami ke kubu tinggalan Israel. Iaitu ketika mereka menawan Sinai daripada Mesir pada peperangan tahun 1967. Tidak banyak yang aku ingin coretkan tentang ini di sini.

Setelah tiba di St. Chaterine iaitu tempat yang terletaknya tempat-tempat bersejarah tentang Nabi Musa a.s. dan kaumnya, (tempat itu dinamakan St Chatrine kerana terdapat sebuah gereja Kristian tua yang berusia ratusan tahun bernama St Chatrine) kami terus pergi melawat ‘Wadi Arbaein’ yang bererti ‘Lembah 40’. Tiada maklumat yang pasti tentang lembah ini. Kerana tiada maklumat tertulis untuk kemudahan pelancong di pintu masuk kecuali sebuah batu bertulis ‘Wadi Abaein’. Inilah adalah salah satu kelemahan Mesir, mereka jarang menyediakan papan maklumat tentang sesuatu tempat pelancongan. Maka aku tidak pasti apakah yang dimaksudkan dengan ‘40’. Adakah ia bermaksud 40 hari, 40 orang, atau 40 tahun. Bagi aku, mungkin 40 tahun. Iaitu lembah yang Allah s.w.t menyesatkan Bani Israel tidak dapat keluar daripadanya selama 40 tahun. Kerana tiada maklumat lain yang disebut di dalam al-Quran kecuali itu.

Saiz lembah ini tidak panjang, agak sempit dan terletak antara dua bukit. Memang sukar bagiku untuk membayangkan jika ia adalah laluan Nabi Musa a.s. bersama kaumnya selama 40 tahun. Namun boleh jadi. Dan di situlah terdapat sebuah batu besar yang dikatakan pernah dipukul oleh Nabi Musa a.s. lalu terbit daripadanya 12 mata air untuk 12 kabilah kaumnya. Lihat gambar.

Setelah itu, kami pulang merehatkan badan di kawasan perkhemahan. Pada jam kira-kira 12 tengah malam, kami memulakan pendakian ke Gunung Tur Sina…

Mengapa mendaki jam 12 malam, tidak waktu siang? Itulah soalan yang mulanya bermain di fikiranku. Bukan kami sahaja yang mendaki pada waktu itu. Malah pelancong-pelancong dari negara lain turut mendaki pada waktu itu juga. Ada yang mengatakan sebabnya adalah kerana mahu melihat panorama matahari terbit di puncak gunung. Ada pula yang mengatakan kerana terkadang terdapat salji di puncak gunung. Kerana musim itu masih dalam musim sejuk. Namun, aku tidak pasti adakah jawapan itu benar-benar dapat diterima. Ikut sukalah apapun alasannya. Aku ikut sahaja. Mungkin juga kerana mendaki pada awal pagi ini telah menjadi suatu tradisi. Namun setelah mendaki, aku rasa alasannya adalah kerana jika mendaki pada waktu siang bimbang tak larat. Kerana cuaca agak panas. Walaupun masih dalam musim sejuk, kerana negeri Sinai adalah negeri yang kering.

Gunung Tur Sina juga dinamakan Gunung Musa, berketinggian lebih kurang 2200 meter. Iaitu lebih tinggi daripada Gunung Tahan yang berketinggian lebih kurang 2100 meter. Terdapat dua laluan untuk sampai ke puncak. Iaitu laluan landai dan laluan curam. Ketika mendaki, kami menempuhi laluan landai dan ketika turun, kami melalui laluan curam. Banyak kisah suka-duka ketika mendaki. Lebih 4 jam kami mengambil masa untuk sampai ke puncak. Cukup meletihkan. Khidmat mendaki menaiki unta ada disediakan oleh masyarakat tempatan bagi sesiapa yang mahu mendaki dengan unta. Bayarannya adalah LE80. Iaitu lebih kurang RM50.

Kami tiba di puncak gunung ketika waktu Subuh sudah masuk. Selesai bersolat, kami mula meninjau-ninjau panorama di sekitar gunung. Terdapat kira-kira 300 orang pelancong memenuhi puncak gunung ketika itu. Ketika matahari mulai terbit, ramailah yang mula memetik camera mereka untuk merakamkan saat-saat tersebut. Untuk mendapat gambaran-gambaran lain tentang pendakian gunung ini, sila lihat rakaman di youtube.. ini, ini dan ini.

Sinai, terutamanya Gunung Tur Sina bukanlah tempat sejarah yang hanya mempunyai nilai sentimental bagi umat Islam, malah bagi penganut agama lain, iaitu Yahudi (Kristain tak pasti). Bagi penganut Yahudi mungkin itulah laluan suci yang pernah dilalui oleh moyang mereka ketika mereka berhijrah dari bumi Mesir. Dan gunung itu, adalah gunung tempat nabi mereka bercakap dengan Tuhan (sama bagi umat Islam). Bagi umat Islam, kisah Gunung Tur Sina banyak disebut di dalam Al-Quran. Malah ada surah yang dinamakan sempena gunung itu. Iaitu surah Al-Tur. Terdapat surah-surah yang dimulakan dengan sumpah dengan itu. Iaitu pada surah Al-Tur itu tadi dan surah Al-Tin. Kisah-kisah tentangnya juga terdapat dalam surah-surah lain, seperti dalam surah An-Nisaa ayat: 154, surah Al-Qasas ayat 29 & 46, surah Al-Mu’minun ayat 20 dan lain-lain.

Di puncak gunung, terdapat sebuah lubang yang dikatakan Nabi Musa pernah bermunajat di situ. Wallahu’alam. Sungguh tinggi tempat Nabi Musa bermunajat. Lihat panorama puncak gunung di bawah ini.

Tentang patung lembu Samiri, sudah tentu patung lembu tersebut sudah tiada. Tetapi terdapat suatu objek di dinding sebuah batu besar di kaki gunung Tur Sina yang kelihatan seolah-olah seperti seekor anak lembu. Ada yang mengatakan objek itu terhasil kerana pancaran lembu emas Samiri. Wallahu’alam. Lihat gambar.

Gambar Lembu Samiri

(Diambil daripada web orang. Maaf, aku tak ambil gambar kerana cuaca panas)


Setelah itu kami pergi ke pantai Dahab. Iaitu salah satu tempat pelancongan terkenal di Sinai. Dahab mempunyai air laut yang jernih yang sesuai untuk aktiviti menyelam. Pantai Dahab tidak dapat disamakan suasanya di dengan pantai-pantai di tempat kita kerana tidak banyak pokok di situ.

Sebelum pulang, kami singgah di suatu tempat yang terdapat di situ sebuah kubu yang dibina oleh Sultan Salahuddin di atas sebuah pulau. Kami tidak sempat memasukinya kerana kelewatan. Banyak lagi tempat-tempat yang boleh dilawati di Sinai. Tapi cukuplah tempat-tempat itu menjadi pengubat untuk lawatan ke Sinai.



Panorama matahari terbit

Orang ramai melihat matahari terbit

Laluan turun


Kubu Sultan Salahuddin

Pantai Dahab

No comments:

Post a Comment