Tuesday, July 8, 2008

Berdialog dengan orang cina

Assalamualaikum wrt wbt

Bismillahirahmanirrahim

Setelah sekian lama membuka blog ini, ini barulah kali pertama aku sempat memasukkan satu posting untuk mengisinya. Sebenarnya aku rasa bukannya senang nak posting sesuatu ke dalam blog. Kerana aku fikir kalau setakat idea-idea yang remeh-temeh atau ayat tak power, bukan sekadar orang akan malas nak jenguk, malah mungkin ada orang akan mengkritik. Payah juga nak buat blog yang baik. Tapi masalahnya, kalau nak menulis posting yang menarik kena beri tumpuan masa yang lebih. Masa sukar dicari. Maka sukarlah nak memulakan langkah untuk menulis posting.

Mengikut pemerhatianku ke atas blog-blog yang sedia ada ruang maya ini, blog yang berjaya mendapat perhatian ramai biasanya adalah blog yang menarik isinya selain mempunyai gaya penulisan yang formal, campur gaya pasar, serius, santai, simple atau tak panjang dan ada sikit unusr humor. Sukar nak buatkan? Apatah lagi bagi orang yang macam aku yang bahasa ibu angkat banyak sangat.

Seperkara lagi, tentang keperibadian yang positif dan penggunaan ayat pasar. Perkara ini turut perlu dipelihara dalam menulis blog. Aku tak mahu kerana nak tunjuk kelantangan atau nak ambil perhatian orang lalu kesopanan melayu sanggup digadaikan di ruang maya.

Oklah. Sebenarnya hari ini aku nak menceritakan tentang perbualan aku semalam dengan seorang kenalan berbangsa cina tentang topik beragama. Bukan senang dapat peluang macam ni. Jarang orang dapat bercakap dengan penganut sendiri tentang agama mereka. Biasanya hanya baca tentang agama lain melalui buku-buku sahaja. Tentang lelaki itu, dia berumur lingkungan 50an. Aku mengenalinya kerana dia membuka kedai berdekatan dengan tempat aku. Walaupun dia orang biasa, dia minat tahu tentang banyak agama. Jadi untuk bersembang dengan dia aku pun kena tahu sedikit-sebanyak tentang agama-agama. Baru sedap sembang. Nasib baik aku ada sedikit pengetahuan tentang agama-agama. Kalau tak tak jadi perbualan kami.

Nak dijadikan cerita dia kata dia beragama Budha. Aku rasa dia jenis yang terbuka. Perbualan kami menyentuh banyak perkara tentang keagamaan.

Cuma di sini aku nak sebut tentang yang menarik dari perbualan kami. Iaitu kami sampai ke satu topik iaitu dia mengatakan bahawa orang cina sebenarnya bukan tak nak masuk Islam. Mereka boleh masuk Islam. Masalah tak boleh makan babi bukanlah masalah besar bagi mereka. Mereka boleh tinggalkan makan babi! Tetapi masalahnya mereka mereka takut kalau mereka masuk Islam pemikiran mereka akan menjadi sempit. Kerana mereka melihat orang Islam berfikiran sempit.

Aku cuba korek dari sudut mana yang dia katakan orang Islam berfikiran sempit. Kemudian dia memberikan satu contoh. Iaitu apabila seorang cina yang menyembunyikan keislamannya daripada keluarganya mati. Kemudian keluarganya mahu menguruskan mayatnya dengan cara cina. Tapi apabila orang Islam tahu, mereka datang merampas mayatnya untuk ditanamkan di perkuburan Islam. Dia kata, mereka tak kisah tentang harta pusaka. Tapi perbuatan orang Islam itu amat menyinggung perasaan mereka. Mereka rasa tak senang lalu berfikiran bukan-bukan terhadap Islam.

Baru kutahu rupanya begini cara mereka berfikir. Aku rasa ada kebenaran dalam kata-katanya. Apakah salahnya kalau mereka masih menyayanginya. Kerana mereka rasa mereka masih bersaudara. Jadi kalau nak rampas pun buatlah dengan cara yang sopan supaya mereka membenarkan dengan cara baik lalu mereka boleh terpikat dengan Islam. Bayangkan kalaulah ada seorang ibu yang telah membesarkan anaknya berpuluh-puluh tahun, tiba-tiba bila anaknya mati mayatnya dirampas. Bagaimanakah perasaan si ibu itu? Mungkin masalah ini boleh semak semula.

Yang kedua, katanya dia kesal kerana orang cina tidak pernah dibenarkan oleh orang Islam untuk memasuki masjid orang Islam. Meraka sebenarnya gerun terhadap masjid. Jadi mereka tak kenal Islam. Aku terfikir lagi, benar juga, mengapa mereka tak pernah didedahkan dengan masjid. Mengapa mereka tidak dibenarkan ke masjid untuk mereka melihat sendiri tentang amalan Islam di masjid?

Jadi inilah antara perkara yang dia utarakan. Ada lagi perkara-perkara yang lain. Tapi cukuplah yang ini sahaja.

Dua perkara ini amat menarik perhatian aku dalam perbualan kami kerana aku tak dapat menjawab kedua-dua masalah itu. Bukan kerana aku tak boleh jawab. Aku boleh jawab apa sahaja untuk membela Islam. Tapi aku fikir, kata-katanya ada kebenarannya walaupun masih boleh dipertikai.

Dalam masalah tanah perkuburan. Aku rasa kita sepatutnya memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikannya kerana itu adalah naluri kemanusiaan. Aku rasa amalan yang ada patut dikaji semula. Supaya dakwah Islam boleh disampaikan.

Tentang masalah kebenaran untuk masuk ke dalam masjid pula. Memang logik juga kalau mereka teringin memasuki masjid. Kerana mereka hidup lama bersama orang Islam. Mungkin mereka tertanya-tanya tentang fungsi masjid. Mereka juga selalu terdedah dengan berita-berita tentang masjid dan orang melayu yang pergi masjid di sana sini. Mereka mungkin nak tahu atau nak kenal Islam. Mungkin jika mereka dapati Islam itu selepas mereka memasuki masjid indah mereka boleh masuk Islam.

Maka perkara yang bermain difikiranku adalah mungkin masjid-masjid kita perlu menyediakan tempat-tempat khas untuk orang bukan Islam datang menzirahi masjid supaya mereka dapat mengenali Islam dengan lebih dekat lagi. (Bukan sebagai pelancong. Kerana masjid bukan tempat pelancongan). Tapi sebelum mereka memasuki masjid mereka perlu didedahkan dengan beberapa peraturan mendekati masjid. Sebaiknya dilantik seorang pegawai khas yang boleh memberi penerangan kepada mereka tentang Islam. Bagaimana bersediakah kita?

Jawapan hati kecil kita mungkin berkata (melihat kepada suasana masjid kita sekarang walaupun indah) kita belum bersedia.

Sebab keinginannya nak masuk masjid maka aku mengajaknya mengikutku pergi ke masjid. Dia cakap nak ikut tapi dengan syarat dia kata dia nak jemput wartawan-wartawan dari surat khabar berbahasa cina untuk mengikut kami. Dia nak suruh buat liputan tentang itu. Agar dia boleh memberitahu kepada dunia bahawa orang Islam benarkan orang cina menziarahi masjid. Bila dia cakap begitu, terkelu aku jadinya. Mana taknya, aku ingat setakat nak ajak dia seorang pergi ke masjid itu bila-bila masa aku boleh ajak. Tapi sampai nak bawa wartawan dan sampai nak masuk surat khabar...rasa-rasa boleh jadi kes besar. Tapi nak tolak rasa bersalah. Akhirnya aku cuba menerangkan kepadanya dahulu beberapa perkara tentang kehormatan masjid. Tentang masalah kemulian dan lain-lain supaya nanti kalau dia masih juga nak pergi ke masjid itu tidak akan menimbulkan masalah besar.

No comments:

Post a Comment