Skip to main content

Musim sejuk di Mesir 2008/2009

Semenjak bulan November lalu hingga kini, iaitu bulan Mac, musim sejuk di Mesir belum tamat-tamat. Mungkin bagi setengah orang, pengalaman melalui musim sejuk adalah sesuatu yang menyeronokkan. Kerana kita di Malaysia sememangnya suka kepada udara sejuk, air sejuk dan sebagainya. Kali terakhir aku melalui musim sejuk adalah ketika aku di India. Bagi yang pernah mengalami musim sejuk, musim sejuk bukanlah suatu musim yang mengenakkan. Musim sejuk terkadang boleh menjadi musim paling menyiksakan. Kerana itu, banyak tajuk post-post teman-teman bloger Mesir aku berbunyi ‘Berperang dengan Musim Sejuk di Mesir’.

Mungkin ada orang yang tertanya-tanya; adakah di Mesir ada musim sejuk? Persoalan ini mungkin timbul kerana kita biasanya membayangkan bahawa Mesir ini dipenuhi dengan padang pasir dan padang pasir biasanya disinominkan dengan panas. Namun realitinya tidaklah begitu. Kerana bukanlah seluruh Mesir ini dipenuhi dengan padang pasir. Malah tempat-tempat yang berdekatan sungai Nil adalah tanah yang subur.

Pada awal musim sejuk, terutamana di Kaherah, musim sejuk dimulakan dengan hujan yang sedikit dalam dua tiga kali, kemudian setelah itu musim sejuk bermula. Ketika itu aku masih ingat, di Malayisa banyak negeri sedang dilanda banjir besar di mana-mana. Takziah kepada mangsa-mangsa banjir.

Setiap negara yang mengalami musim sejuk pasti mengalami perubahan musim yang berperingkat-peringkat. Biasanya dimulakan dengan hujan pertama, kedua dan berikutnya. Setelah itu, udara akan berubah sedikit demi sedikit hinggalah perubahan udara yang menyeluruh berlaku. Maha bijaksana Allah taala. Perubahan sebegini adalah agar tubuh manusia tidak terkejut dengan perubahan udara yang berlaku. Jika tidak, mungkin manusia akan jatuh sakit jika perubahan itu mendadak.

Di Kaherah, hujan perubahan musimnya adalah terlalu amatlah sedikit jika dibandingkan dengan hujan perubahan musim di India. Ketika aku di India, hujan perubahan musimnya agak lebat sama lebatnya dengan hujan di Malaysia.

Musim sejuk di Mesir pada tahun ini dikatakan tidak sesejuk tahun-tahun sebelum ini. Paling tinggi udaranya 7C. (Itupun dah kira sejuk, tidak tahulah jika lebih sejuk daripada itu). Kira-kira dalam dua minggu cuacanya di tahap itu. Pada ketika itu ramai orang jarang ke mana-mana.

Bagi orang yang tinggal di Kaherah atau orang mempunyai peralatan yang lengkap, musim sejuk mungkin masih dapat ditanggung. Di Kaherah, terdapat banyak pembangunan, maka udaranya mungkin tidaklah sesejuk jika dibandingkan dengan udara di luar Kaherah yang kurang pembangunannya.

Alhamdulillah aku bernasib baik kerana aku dapat menyewa di rumah yang mempunyai peralatan yang lengkap; ada pemanas air dan pemanas udara. Jika tidak, tentu pengalaman buruk melalui musim sejuk di India berulang kembali di Mesir. Kesian juga apabila mendengar ada di kalangan pelajar kita yang tiada pemanas air dan pemanas udara ataupun ia rosak. Aku dapat bayangkan bagaimana sukarnya mereka. Terutamanya ketika mahu mengambil wudu' waktu solat subuh. Tentang mandi...biasalah kalau 3-4 hari sekali mandi. Malah ada yang satu minggu sekali mandi kerana air terlalu sejuk.

Yang menariknya di musim sejuk, air tidak perlu di simpan dalam peti sejuk untuk menjadikannya sejuk. Letakkan sahaja sebentar di luar ia akan menjadi sejuk macam diletakkan dalam peti sejuk. Makanan juga lambat basi. Dan seperkara lagi yang menarik adalah terdapat banyak buah limau dan buah strawberi muncul dalam musim sejuk.

Bagi masyarakat arab Mesir, sesetengah mereka kurang merasa bahana kesejukkan. Mungkin kerana badan mereka kebal. Setengah mereka hanya berpakaian biasa; tanpa mengenakkan apa-apa baju sejuk atau jaket sedangkan udara tengah sejuk.

Oklah. Sekadar ini catatan aku untuk kisah musim sejuk di mesir. Wassalam.

Comments

Popular posts from this blog

Kesan Membaca Novel

Ini adalah suatu topik yang telah lama aku pendamkan untuk menulisnya. Aku sering menangguhkan hasratku untuk menulisnya kerana sebelum ini aku tiada sokongan pendapat daripada orang lain. Namun baru-baru ini ketika aku sedang menyelak sebuah buku aku terjumpa suatu pendapat yang hampir serupa dengan pendapatku. Iaitu tentang kesan negatif membaca novel. Buku yang aku maksudkan adalah buku tulisan Dr. ‘Aidh Al-Qarni yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu dengan judul “Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia”, (ianya kepunyaan seorang perempuan). Aku terpandang sedikit kata-katanya mengenai keburukan sesetengah novel. Iaitu baginya sesetengah novel boleh membuatkan manusia khayal, tidak berpijak di dunia yang nyata malah membahayakan diri mereka sendiri. Beliau berkatanya: “ Sesungguhnya kebahagiaan anda terletak pada ilmu pengetahuan dan pandangan hidup yang lurus, sedangkan hal seperti itu tidak diperolehi dari kisah-kisah romantic atau murahan yang membuat pembacanya mengkhayal dan melay...

Bahasa Arab Mesir

Umum mengetahui bahawa Mesir adalah sebuah negara Arab. Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa bahasa pertuturan di Mesir bukanlah bahasa Arab yang biasa didengar atau dubaca; iaitu bahasa standard. Seperti bahasa Bahasa Al-Quran, Hadith, bahasa penulisan dan ucapan rasmi.Bahasa Arab pertututran di Mesir adalah bahasa Arab loghat atau dialek “”Ammiyyah”. Bagi sesetengah orang, mengertikannya bahasa pasar. Pokoknya ada banyak perubahan dan perbezaan antara bahasa Arab standard dan bahasa slanga sehingga tidak dapat difahami. Punca Bahasa Arab Mesir menjadi loghat ‘ammiyyah adalah kerana dikatakan Mesir pernah menjadi pusat ketamaddunan dunia, maka pelbagai bangsa pernah datang dan mereka memberi kesan kepada penambahan bahasa Mesir. Salah satu lagi faktor adalah kerana Mesir pernah dijajah dalam tempoh yang panjang oleh pelbagai penjajah asing. Perkara ini juga menyebabkan bahasa Mesir dimasuki oleh bahasa-bahasa penjajah asing itu. Maka menurut orang Mesir sendiri, bahasa Mesir adal...

Makkah dikejutkan dengan hujan lebat 2 jam

Kekerapan hujan dan banjir di Malaysia menjadi perkara biasa tetapi di Makkah hujan merupakan perkara luar biasa dan dianggap rahmat Allah kerana bumi ambia ini jarng sekali menerima hujan. Cuaca panas di tanah suci Makkah yang mencecah melebihi 41 darjah Celsius sejak dua minggu lalu dikejutkan dengan hujan lebat hampir dua jam petang semalam. Hujan bermula kira-kira 5.30 petang waktu tempatan (10.30 malam waktu Malaysia) menyebabkan air melimpahi jalan-jalan di sekitar ibu kota Makkah, Aziziah, Syisya dan beberapa kawasan persekitarannya. Pasukan media Lembaga Tabung Haji (TH) yang dalam perjalanan ke Syisya kira-kira empat kilometer dari pusat bandar Makkah menempoh perjalanan dalam hujan lebat disertai petir petang semalam. Aliran trafik Kota Makkah yang sentiasa sibuk dengan kehadiran jutaan jemaah haji dari seluruh dunia bagaimanapun tidak terjejas kecuali jemaah-jemaah yang hendak menunaikan solat di Masjidil Haram kelihatan terkandas. Kota Makkah berdebu berikutan pe...